PAC kesal kerajaan tidak nyahklasifikasi laporan AES

Wong Kah Woh
Wong Kah Woh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyifatkan tindakan kerajaan untuk tidak menyahklasifikasikan sepenuhnya Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkaitan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagai tidak menghormati institusi Parlimen.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, ini kerana kerajaan bersikap acuh tidak acuh terhadap syor PAC yang juga Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menyahklasifikan sepenuhnya laporan berkenaan.

Sedangkan katanya, PAC memainkan peranan untuk memberikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat berhubung isu AES di samping penting untuk rakyat menilai kandungan laporan JKSTUPKK itu.

Justeru katanya, tindakan menghitamkan sebahagian laporan berkenaan yang tidak ada kena mengenai dengan aspek keselamatan negara atau dasar yang sensitif jelas merendahkan martabat Parlimen.

“Apabila PAC membentangkan laporan Jawatankuasa ini berhubung AES pada 23 November 2021, syor pertama PAC adalah supaya Laporan JKSUPKK ini yang diletakkan sebagai Rahsia Besar dinyahklasifikasi.

“Bagaimanapun, Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bertindak mengklasifikasikan laporan berkenaan gagal berbuat demikian apabila menghadiri Prosiding Tindakan Susulan Kementerian pada 23 Mac 2022.

"Sikap JPM ini telah ditegur oleh PAC semasa prosiding," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Isnin.

Beliau berkata, tindakan menyahklasifikasikan Laporan JKSTUPKK itu hanya dilakukan pada 8 Julai 2022.

"Namun nyahklasifikasi laporan berkenaan tidak dilakukan sepenuhnya sebaliknya, maklumat-maklumat berkenaan dengan nama-nama turut dihitamkan,” katanya.

Kah Woh berharap, JPM dan menteri yang terbabit boleh menghormati PAC sebagai satu cabang utama Parlimen dalam memainkan peranan dan memastikan kesemua syor yang dikemukakan diambil tindakan yang sepatutnya.