DUN Selangor bertafakur pemergian Khalid Ibrahim

ADUN Selangor bertafakur selama seminit bagi memberi penghormatan kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia pada Ahad.
ADUN Selangor bertafakur selama seminit bagi memberi penghormatan kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bertafakur mengikut kepercayaan agama masing-masing selama satu minit bagi memberi penghormatan kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia pada Ahad.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengusulkan sidang DUN turut ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang bagi memberi ruang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor menziarahi Allahyarham yang telah banyak berjasa kepada negeri ini.

"Saya dengan ini memohon sebagaimana mengikut Peraturan 26(C) dan Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor hendaklah ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang bagi memberi peluang kepada majlis pengebumian Allahyarham dan memberi peluang ahli dewan khususnya untuk melakukan ziarah kematian," katanya semasa mencadangkan usul Sidang DUN Selangor ditangguhkan sementara di Bangunan DUN Selangor pada Isnin.

Amirudin berkata, sepanjang menjadi Menteri Besar Selangor, Allahyarham Abdul Khalid telah menyelaraskan beberapa program yang telah memberi impak kepada rakyat sejak dari dulu hingga kini.

"Antaranya penyusunan dan pembentukan merakyatkan ekonomi yang sekarang ini dikenali sebagai iltizam Selangor Penyayang, pembetulan serta idea membangunkan pesisir kawasan Sungai Klang yang ketika ini menjadi Selangor Maritime Gateway (SMG) dan juga pembentukan dan pengukuhan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) sebagai sebuah institusi berdaya saing," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Abdul Khalid meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Abdul Khalid, 76, menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.08 Ahad selepas dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Artikel Berkaitan: