Ramai ‘panas’ Asyraf Wajdi semeja dengan Tengku Zafrul

Asyraf (kiri) diletakkan semeja dengan Tengku Zafrul pada Majlis Penutup Konvensyen Barisan Nasional Negeri Selangor, pada Ahad.
Asyraf (kiri) diletakkan semeja dengan Tengku Zafrul pada Majlis Penutup Konvensyen Barisan Nasional Negeri Selangor, pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Perkongsian gambar oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memaparkan beliau bersama Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor yang baharu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mencuri tumpuan warganet.

Umum mengetahui, Asyraf sebelum ini agak vokal terhadap Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan kerana perbezaan pandangan terutamanya melibatkan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium.

Walaupun mendapat banyak kritikan dan sindiran khususnya daripada ‘cybertrooper’ Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sebaik memuat naik gambar itu, Asyraf bagaimanapun kelihatan tenang ‘melayan’ kerenah pengkritiknya.

“Ramai juga ‘cybertrooper’ PN dan PH yang kepanasan lihat gambar ni. Fitnah saya macam-macam, jilatlah, dulu maki hamunlah. Bila saya tanya bukti status mana yang saya maki ataupun jilat, tak ada yang boleh mendatangkannya.

“Tak tahu beza antara kritik, berbeza pandangan, mendesak bagi pihak rakyat dalam isu-isu menyentuh kepentingan rakyat seperti KWSP, moratorium, mempercepatkan bantuan rakyat waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Jelas Asyraf, selalu mengkritik dan mempunyai perbezaan pandangan tidak semestinya membawa maksud memutuskan silaturahim dan ukhuwah.

Tambahnya, walaupun sering berbeza pandangan, mereka berdua masih mampu bersikap profesional dan lebih bermakna, diletakkan semeja pada Majlis Penutup Konvensyen Barisan Nasional Negeri Selangor, pada Ahad.