Klopp yakin ’ubi’ Liverpool timba pengalaman berharga

Sebahagian besar pemain muda yang diturunkan pada perlawanan itu dengan dibantu beberapa pemain senior. - Foto Liverpool FC
Sebahagian besar pemain muda yang diturunkan pada perlawanan itu dengan dibantu beberapa pemain senior. - Foto Liverpool FC
A
A
A

BIARPUN tewas 0-3 kepada kelab Perancis, RC Strasbourg Alsace pada aksi persahabatan pramusim pada Ahad, pengendali Liverpool Jurgen Klopp yakin kesebelasan muda The Reds telah menimba pengalaman yang cukup berharga.

Menurutnya, pengalaman itu diharap dapat dimanfaatkan oleh kesebelasan pemain muda berkenaan bagi mengharungi saingan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dijadualkan bermula hujung minggu ini.

“Secara keseluruhannya, ia merupakan perancangan kita bagi memberikan pengalaman kepada kesebelasan pemain muda untuk berdepan dengan sebuah pasukan yang hebat seperti RC Strasbourg Alsace.

“Sejujurnya, saya cukup berbangga menyaksikan persembahan pemain-pemain muda ini pada separuh masa kedua yang membuktikan mereka ini sudah boleh diserapkan untuk beraksi dengan skuad utama pada bila-bila masa,” katanya.

Pada aksi pramusim itu, RC Strasbourg Alsace menjaringkan gol menerusi Adrien Thomasson pada minit ke-4 dan minit 21 sebelum Habib Diallo menjaringkan gol kedua pada minit ke-14.

Pada aksi itu juga, Klopp tidak menurunkan ramai pemain utama dan sekadar menurunkan pemain-pemain muda untuk beraksi.

Sementara itu, Klopp berharap agar skuad kendaliannya itu dapat memberikan fokus bagi mengharungi aksi sulung EPL berdepan Fulham di gelanggang lawan Sabtu ini.

Katanya, aksi sulung pada kebiasaannya penting dan perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kesebelasan The Reds bagi meraih tiga mata berharga.

“Misi kami mudah iaitu untuk mencatatkan kemenangan berdepan Fulham pada aksi sulung EPL musim baharu nanti.

“Kemenangan berkenaan akan membuatkan pemain semakin bersemangat bagi mengharungi musim baharu nanti," katanya.