Jangan lupa jasa pejuang kemerdekaan: Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
A
A
A

KANGAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan orang ramai khususnya generasi muda agar tidak lupa jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan negara.

"Pengorbanan mereka (pejuang kemerdekaan) jelas membuktikan jati diri dan semangat mempertaruhkan nyawa dan harta benda, demi kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pada Ahad.

Kenyataan itu menyebut baginda bertitah demikian selepas mengetuai Program Kayuhan Amal Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2022 peringkat MAIPs yang berlangsung serentak dengan Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kangar pada Ahad.

Baginda yang juga Yang DiPertua MAIPs turut berkenan singgah menyantuni asnaf di Kampung Behor Gandil dan Kampung Guar Syed Alwi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata, Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun adalah bagi mengenang jasa semua anggota pasukan keselamatan. - Bernama