UMNO lebih realistik, bersifat politik dinamik

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan partinya itu lebih realistik, sesuai dengan sifat politiknya yang sangat dinamik.

Justeru katanya, adalah lebih baik sekiranya kedinamikan itu diterjemahkan menerusi pasca pilihan raya.

“Insya-ALLAH selepas kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), baharulah formula, strategi dan pendekatan dalam kerjasama politik bersama parti-parti yang relevan dibentuk, bersifat melangkaui perbezaan politik, kaum dan budaya dalam kalangan parti politik demi kepentingan rakyat serta negara.

“Kita mesti buta warna politik kaum dan agama sebagaimana amalan BN selama ini untuk memastikan kestabilan politik negara mesti dijalin semula untuk keamanan serta kepentingan semua rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menjelaskan baru-baru ini, beliau pernah menyatakan bahawa UMNO dan BN hanya akan terbuka untuk bekerjasama menerusi formula baharu dengan mana-mana parti politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, banyak parti cuba mendekati UMNO dan BN walaupun sebelum ini ada dalam kalangan mereka cuba mengikis serta melemahkan UMNO secara licik.

“Ketika ghairah mahu bekerjasama dengan UMNO, hanya difokuskan pula terhadap kerusi tradisi UMNO agar dikorbankan diberikan kepada mereka. Ada kata mereka tak susah lebih kurang halalkan.

“Ada pula mendakwa parti mereka semakin popular di mata rakyat maka perlu lebih diberikan lebih kerusi. Walaupun parti mereka bertanding lebih 50 kerusi, namun hakikatnya hanya mampu menang beberapa kerusi sahaja. Tapi kemudian mahu mendominasi kerajaan!

“Umpama belalang mengaku helang, ular lidi mengaku naga. Maka fenomena inilah yang cuba dielakkan oleh UMNO dan BN,” katanya.

Sehubungan beliau berkata, perjuangan UMNO dan BN lebih diyakini kerana rakyat kini sudah sedar dan tidak lagi diperdayakan untuk kali kedua dengan manifesto palsu Pakatan Harapan (PH) pada PRU 2018.