MAHA 2022 siap sedia dikunjungi

Ronald (depan, tiga dari kanan) merasai buah nangka ketika Program Media Tour MAHA 2022 di Serdang pada Ahad.
Ronald (depan, tiga dari kanan) merasai buah nangka ketika Program Media Tour MAHA 2022 di Serdang pada Ahad.
A
A
A

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang bakal berlangsung bermula 4 hingga 14 Ogos depan kini siap sedia dikunjungi apabila persiapan di tapak programnya hampir 100 peratus siap.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dengan itu tapak pameran itu akan bersedia sepenuhnya dengan pelbagai program serta acara menarik yang bakal berlangsung sepanjang tempoh tersebut.

"Seramai 100,000 pengunjung setiap hari dijangka akan membanjiri MAHA 2022 menjelang penganjurannya nanti," katanya kepada pemberita pada Program Media Tour MAHA 2022 di sini pada Ahad.

Program itu adalah sebahagian daripada aktiviti khas MAFI bersama media bagi meninjau persiapan di tapak selain bertujuan untuk mempromosi MAHA 2022 yang merupakan pameran pertanian terbesar dan berprestij.

MAHA 2022 bakal menampilkan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian bersandarkan kepada teknologi terkini, inovasi-inovasi tempatan dan luar negara, strategi-strategi pemasaran dan pengeluaran secara efektif serta pendekatan lain yang mampu membantu sektor tersebut.

Selain aktiviti promosi dan publisiti yang giat dijalankan oleh MAFI, MAHA 2022 turut mendapat sambutan penajaan yang sangat menggalakkan dari pemain industri pelbagai sektor.

Ronald berkata, MAFI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pembelian pakej-pakej penajaan yang secara tidak langsung menjadi bukti keyakinan industri terhadap penganjuran MAHA 2022 sebagai agenda untuk melonjakkan ekonomi dan sekuriti makanan masa hadapan.

Menurutnya, pembeli pakej penajaan MAHA 2022 antaranya Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Bernas Padiberas Nasional Berhad dan FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd.

Ronald (depan kiri) meninjau persiapan MAHA 2022 di Serdang pada Ahad.
Ronald (depan kiri) meninjau persiapan MAHA 2022 di Serdang pada Ahad.

Dalam majlis yang sama, Agrobank turut melancarkan kad istimewa untuk MAHA 2022 yang dikenali sebagai Takaful Kasih Plus Edisi MAHA 2022 iaitu satu pelan perlindungan yang direka khas dengan bayaran serendah RM10.60 setahun untuk memberi perlindungan kemalangan sehingga RM306,000 kepada Orang Yang Dilindungi.

Kad Eksklusif Takaful Edisi MAHA 2022 juga ditawarkan kepada pelanggan yang melanggan mana-mana pelan Takaful Kasih Plus di Pusat MAEPS Serdang sepanjang MAHA 2022 berlangsung.

Bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan atau Food Security for the Future, Ronald menambah, fokus MAHA 2022 adalah kepada komponen-komponen seperti Agro Trade iaitu melibatkan aktiviti perniagaan dan padanan perniagaan serta mempromosi produk tempatan dan antarabangsa.

"Ia juga melibatkan komponen Agro Edutainment bagi mempromosi serta memberi kesedaran tentang kepentingan sektor agromakanan dalam menjamin sumber bekalan makanan negara dan Agro Lifestyle bagi mempamerkan gaya hidup keluarga agro serta aktiviti-aktiviti nilai tambah di sepanjang rantaian nilai agromakanan.

"Selain itu terdapat juga aktiviti bagi menarik golongan muda iaitu Agro Youth untuk menggalakkan dan mendorong pembangunan usahawan tani muda sebagai pelapis dan jaminan masa depan pertanian negara serta Agro Tourism khusus bagi mempromosi industri agropelancongan dan Agro Tech untuk mempamerkan penggunaan teknologi dan jentera terkini dalam sektor pertanian.

"Perkara yang dijangka akan turut mendapat tumpuan pengunjung MAHA edisi 2022 kali ini adalah segmen Agro Job Fair yang akan mempromosikan potensi serta peluang pekerjaan yang tersedia dalam sektor pertanian," ujarnya.