UMNO, BN perlu tegas terhadap ahli persenda wanita

Zahida
Zahida
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bertegas dengan ahli parti yang berpandangan seksis, rasis dan suka mempersendakan wanita.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menambah, mereka yang suka merendahkan dan mempunyai sifat memualkan terhadap wanita perlu diambil tindakan tegas.

“Kami juga sangat sensitif dengan mereka ini. Kalau seluruh masyarakat mual dengan mereka, parti tidak lagi boleh mengharapkan kami mempertahankan mereka.

“Full stop. No way brother. Lelaki MCP, Male Cauvinist Person, lelaki yang menganggap dialah dewa segalanya, sepatutnya tiada tempat dalam BN,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Konvensyen Puteri Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Tambah Zahida, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, UMNO dan BN perlu mengemukakan calon yang faham tentang aspirasi dan pemerkasaan wanita.

Zahida dalam masa sama menggesa agar PRU15 segera diadakan memandangkan UMNO dan BN telah menang besar semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

“Kita sudah menang besar di Melaka, kita sudah menang besar di Johor, jangan sampai momentum kemenangan ini hilang. Segeralah diadakan pilihan raya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar tidak melayan kehendak pembangkang dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu melengahkan-lengahkan pilihan raya sehingga ke hujung penggal.

“Kenapa kita perlu tunggu mereka bergabung, baru kita nak serang, jangan kita berikan mereka vitamin untuk mereka lebih kuat.

“Bodohlah kita tidak menyerang ketika musuh kita lemah,” tegasnya.

Sementara itu, Zahida dalam sidang akhbarnya selepas itu menjelaskan beliau tidak menunding jari kepada mana-mana individu yang berpandangan seksis, rasis dan suka mempersendakan wanita terbabit.

Menurutnya, kenyataaan yang dibuatnya itu adalah bersifat umum.

“Tapi memang sepatutnya pemimpin-pemimpin atau sesiapa sahaja yang ada karekter seperti itu, parti sepatutnya tidak terima dah dikenakan tindakan sewajarnya,” tegasnya.