Terima kasih RoS: Ahmad Zahid


AHMAD ZAHID
AHMAD ZAHID
A
A
A

SHAH ALAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana meluluskan usul pindaan perlembagaan parti itu berkuat kuasa pada Jumaat.

Menurutnya, apabila seluruh ahli dan perwakilan UMNO bersatu padu menyokong pindaan tersebut, suara sumbang segelintir cuba menolaknya kini terbukti silap dalam menentukan sikap dan pendirian mereka yang bertentangan dengan suara akar umbi.

“Terima kasih akar umbi UMNO di seluruh negara yang berdiri teguh bersama kepimpinan UMNO memperjuangkannya walaupun ada segelintir secara terbuka cuba membina naratif menolaknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa RoS meluluskan pindaan perlembagaan parti itu agar pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, UMNO juga matang dalam berdepan isu ini di samping kesabaran parti dalam membawa kebangkitan rakyat membolehkan kemenangan di tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Diikuti kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor walaupun cuba diperlekeh oleh musuh politik kita.

“Namun tahap kesabaran kita dalam kepimpinan parti jelas tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang memprovokasi dan mengganggu-gugat pemulihan serta kestabilan dalaman UMNO,” katanya.