AUG 2022: Dua emas pelengkap prestasi cemerlang kem olahraga

Queenie ketika beraksi dalam acara lempar cakera wanita di temasya AUG 2022
Queenie ketika beraksi dalam acara lempar cakera wanita di temasya AUG 2022
A
A
A

DUA emas berjaya dituai pada hari akhir acara olahraga temasya Sukan Universiti ASEAN 2022 menerusi jaguh lempar cakera wanita negara, Queenie Ting Kung Ni dan R Kirthana dalam acara lompat tinggi.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sisaket City pada Sabtu, Queenie yang juga merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam acara lempar cakera meraih emas selepas melakukan balingan sejauh 49.44m mengatasi rakan senegara Nur Atiqah Sufiah Hanizam di kedudukan kedua dengan catatan 42.24m.

Kirthana yang merupakan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), meraih emas dalam acara lompat tinggi selepas melakukan lompatan 1.54m mengatasi rakan senegara, Ng Yu Ji di tempat kedua.

Dua emas yang diraih kem olahraga itu menyaksikan skuad tersebut berjaya membawa pulang 11 emas pada edisi kali ini sekali gus melepasi sasaran tujuh emas ditetapkan untuk sukan berkenaan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Saya gembira dengan kemenangan ini walaupun lontaran yang dibuat tidak seperti disasarkan jurulatih iaitu 51m. Sebenarnya kondisi saya tidak begitu baik kerana selepas sampai di Thailand saya demam akibat perubahan cuaca.

"Namun, itu bukan alasan dan tetap cuba buat yang terbaik. Jurulatih juga berbangga dengan pencapaian ini kerana dia tahu tahap kesihatan saya tidak begitu baik ketika beraksi," kata Queenie yang akan memberi fokus kepada Sukan Perpaduan Islam 2022 di Konya, Turki bermula dari 9 hingga 18 Ogos ini.

Sementara itu, mengulas berkenaan pencapaian skuad olahraga, pengurus pasukan olahraga Malik Tobias berkata, secara keseluruhan beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian dilakar pada temasya kali ini.

“Alhamdulillah semua atlet memberikan aksi terbaik pada edisi kali ini untuk kem olahraga melepasi sasaran tujuh emas ditetapkan. Hari terakhir acara olahraga semalam kita sasar dua emas dan kita berjaya lakukan menerusi Queenie dan Kirthana.

“Jadi kita capai 11 emas, satu pencapaian sangat baik dan saya fikir ini adalah hasil daripada semua pihak termasuk pengurusan, jurulatih dan atlet itu sendiri yang memberi fokus kepada pertandingan,” katanya.