Sinar Harian turut penuhi tanggungjawab sosial

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian
A
A
A

SHAH ALAM - Akhbar Sinar Harian sudah bergerak lebih ke hadapan dalam memainkan peranannya yang kini tidak terhad hanya sebagai penyalur maklumat tetapi juga memenuhi tanggungjawab sosial melalui gerakan kesedaran dalam kalangan rakyat.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, melalui gerakan sosial seperti Rasuah Busters, Sinar Harian dilihat mengambil langkah strategik untuk menangani masalah dihadapi negara.

“Saya rasa ini adalah tindakan proaktif dalam menangani isu yang dekat dengan masyarakat dan ini secara langsung berjaya memenuhi keperluan untuk memetakan pembacaan minda rakyat terhadap masalah tersebut.

“Dalam hal ini juga, Sinar Harian mengambil pendekatan agak berbeza dengan memanggil pelbagai kelompok untuk mengadakan perbincangan dan membentuk pasukan bagi memerangi isu ini,” katanya kepada Sinar Ahad.Dalam pada itu Sivamurugan berkata, sejak 16 tahun kewujudannya, Sinar Harian tampil hadir dengan keunikan apabila menekankan jenis kandungan pemberitaan yang pelbagai dan tidak terhad hanya kepada isu politik dan kenegaraan.

“Kalau kita lihat contohnya program Wacana Sinar Harian dan begitu juga dengan Sinar Premium memaparkan berita yang bagi saya dekat dengan kumpulan masyarakat yang berbeza dan pelbagai di dalam negara.

“Ini antara keistimewaan Sinar Harian yang saya rasakan berbeza berbanding media lain,” ujarnya.

Tambah beliau, kepelbagaian ditonjolkan dalam kandungan pemberitaan juga dilihat berupaya untuk memenuhi keperluan bahan bacaan diperlukan oleh pembaca di Malaysia.

“Maknanya, kepelbagaian itu menjadikan ia berjaya menerokai pelbagai bidang yang luas dalam penyebaran maklumat, informasi kepada masyarakat awam.

“Kalau kita melihat kepada ruang disediakan Sinar Harian bagaimana ia memberikan paparan menyeluruh dengan mengambil kira keseluruhan sektor kemasyarakatan seperti ekonomi, politik dan sosial,” jelas beliau.