Malaysia perkukuh kawalan sempadan, teknologi dan risikan halang kemasukan warga Israel

KDN turut menegaskan dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia. Gambar hiasan.
KDN turut menegaskan dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia. Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA – Kawalan sempadan di pintu masuk negara terus diperkukuh melalui penggunaan teknologi, perkongsian risikan, pemprofilan risiko serta penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan dasar kerajaan berhubung larangan kemasukan warganegara Israel dilaksanakan secara tegas tanpa kompromi.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan memaklumkan, langkah itu selaras dengan pendirian tegas kerajaan seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendirian Malaysia terhadap Israel serta komitmen mempertahankan hak rakyat Palestin dan memelihara kepentingan nasional.

Menurut kementerian itu, segala aspek berkaitan kawalan sempadan, pemeriksaan imigresen, penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan dalam negeri akan terus dilaksanakan secara tegas, profesional dan tanpa kompromi.

"KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia terus menguatkuasakan semua peruntukan undang-undang berkaitan kemasukan warga asing ke Malaysia berdasarkan Akta Imigresen 1959/1963 [Akta 155], Akta Pasport 1966 [Akta 160], peraturan-peraturan imigresen yang sedang berkuat kuasa serta penilaian keselamatan oleh agensi-agensi keselamatan negara," menurut kenyataan itu.

Kementerian berkenaan turut menegaskan dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia, selaras dengan dasar kerajaan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.

"Di samping itu, setiap permohonan kemasukan warga asing ke Malaysia akan melalui proses pemeriksaan imigresen, semakan keselamatan serta penilaian risiko yang menyeluruh.

Mana-mana individu yang dikenal pasti boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam, kepentingan negara atau termasuk dalam kategori imigran yang dilarang di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963 tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia atau akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang," tegas KDN.

KDN turut menjelaskan bahawa pengurusan pintu masuk negara bukan sekadar melibatkan urusan imigresen, sebaliknya merupakan sebahagian daripada sistem keselamatan negara yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta agensi penguatkuasaan berkaitan.

Menurut kementerian itu, pendekatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan KDN dalam memastikan setiap keputusan berkaitan kemasukan warga asing mengambil kira aspek keselamatan nasional, kedaulatan negara, kepentingan awam serta pematuhan kepada undang-undang Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada dasar menghalang kemasukan warganegara Israel ke negara ini.

Penegasan itu dibuat susulan isu melibatkan peserta program Network School yang didakwa mempunyai kewarganegaraan Israel tetapi memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.

Kerajaan turut menegaskan bahawa mana-mana individu yang dikenal pasti sebagai warganegara Israel akan dikenakan tindakan selaras dengan dasar dan undang-undang negara.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!