Kepercayaan pembaca jadikan Sinar Harian akhbar nombor satu Malaysia

Muka depan Sinar Ahad.
Muka depan Sinar Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kejayaan sebagai akhbar bahasa Melayu nombor satu di Malaysia merupakan manifestasi kepercayaan pembaca di dalam negara terhadap jenama Sinar Harian.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman berkata, sejak 16 tahun kewujudannya, Sinar Harian berkembang daripada akhbar regional kepada nasional dan menjadi media cetak nombor satu di dalam negara.

“Tahun ini agensi berita antarabangsa Reuters Institute dalam survey Digital News Global Report 2022 mendapati Sinar Harian adalah jenama akhbar bahasa Melayu yang paling dipercayai di dalam negara.

“Kedudukan Sinar Harian sebagai akhbar nombor satu dalam kalangan akhbar berbahasa Melayu di Malaysia adalah manifestasi kepercayaan pembaca kepada jenama ini.

"Ia adalah satu penghormatan kepada semua warga kerja Sinar Harian,” katanya kepada Sinar Ahad.Mengulas mengenai cabaran perkembangan media digital, Rozaid berkata, dengan reputasi sebagai media yang membuat laporan dengan telus dan tulus, beliau yakin Sinar Harian akan terus kekal relevan menjadi platform bagi membawa suara dan nadi rakyat Malaysia.

“Sinar Harian tidak ada political master. Sinar Harian menjuarai suara rakyat dan apa yang rakyat mahukan untuk negara ini,” ujarnya.

Jelas beliau, kejayaan memenangi Anugerah Kajai, iaitu hadiah tertinggi kewartawanan Malaysia juga dilihat meletakkan tanda aras baharu kepada kualiti dan mutu kerja warga Sinar Harian.

Pada masa sama, Rozaid turut berkongsi harapannya ingin melihat Sinar Harian terus menjadi platform memperjuangkan kebenaran, menentang rasuah dan penyelewengan serta mengangkat suara rakyat.