Nor Jannaton lawan kesakitan demi Malaysia di Solo

Nor Jannaton
Nor Jannaton
A
A
A

MEMPUNYAI masalah di kaki yang menyebabkan kesakitan jika berjalan atau berdiri lama, tidak menghalang Nor Jannaton Abdul Jalil daripada terus mengharungi cabaran mewakili negara di temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, Indonesia.

Pemanah berusia 27 tahun itu cekal mengharungi segala cabaran untuk terus bergelar atlet, walaupun ada kalanya terpaksa menahan kesakitan apabila bergerak.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia 2019 yang bakal beraksi dalam acara compound wanita dan campuran pada kali ini, mengalami keadaan 'rhizomelic shortening of lower limbs' sejak lahir.

"Doktor beritahu saya tak ada certain tulang, jadi saya tak boleh nak berdiri lama atau jalan jauh, jalan dalam beberapa meter pun dah boleh rasa sakit. Selalunya saya akan menggunakan skuter sekiranya perlu berjalan jauh.

"Selalunya saya lawan kesakitan tu dengan tidak terlalu memanjakan diri kerana nak biasakan diri dan pada masa sama nak kuatkan kaki untuk berdiri dengan stabil memanah. Walaupun waktu itu saya boleh bertahan, malamnya baru sakit," katanya ketika latihan di Stadium Kota Barat di Solo.

Beliau menjelaskan ketika latihan dan kejohanan, beliau mempunyai individu yang boleh membantunya mengambil anak panah, selain turut mempunyai masa dan kerusi untuk berehat di antara setiap pusingan.

Nor Jannaton berkata walaupun dibenarkan untuk menggunakan bangku ketika pertandingan, beliau lebih gemar untuk berdiri.

Mengulas mengenai persiapannya, beliau berkata segalanya berjalan dengan lancar dan sasarannya adalah merangkul emas dalam acara campuran apabila pertandingan bermula esok.

Sementara itu, Paralimpian Wiro Julin yang meraih perak bersama Nor Jannaton di Kejohanan Memanah Para Asia Phuket 2022 di Thailand pada Mac lepas, bertekad untuk bangkit meraih emas acara berkenaan di Solo.

"Walaupun saya pernah beraksi di Paralimpik Tokyo 2020, ini merupakan kali pertama saya di APG. Saya berharap untuk mendapatkan balik rentak saya kerana di Phuket saya mempunyai masalah peralatan yang menjejaskan prestasi," katanya.

Wiro akan beraksi dalam acara compound lelaki dan berpasukan lelaki bersama R Daneshan, manakala pemanah terbaik di antara mereka akan berganding dengan Nor Jannaton bagi acara campuran. - Bernama