Tokoh Maal Hijrah Johor anggap doa ibu pendorong kejayaan

Tokoh Maal Hijrah Johor Datuk Amir Danuri menerima anugerah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor, pada Sabtu. - Foto Bernama
Tokoh Maal Hijrah Johor Datuk Amir Danuri menerima anugerah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tokoh Maal Hijrah Johor Datuk Amir Danuri tidak pernah lupa meminta doa dan restu ibu dalam setiap pekerjaan yang dilakukan sebagai pendorong kejayaan.

Malah, bekas Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor itu berkata, setiap mesyuarat berkaitan undang-undang dan jabatan yang perlu dihadirinya dimaklumkan kepada ibunya Dakyah Laman yang telah meninggal dunia pada 2007.

"Apa sahaja pekerjaan yang kita mahu lakukan mesti minta izin dengan emak dan minta emak doakan. Kalau ada bapa mintalah kepada bapa juga, namun bapa saya sudah meninggal dunia pada tahun 1973,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor di sini, pada Sabtu.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Amir, 72, kini berkhidmat sebagai Panel Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Johor berkata menjaga hubungan antara keluarga juga menjadi kunci kejayaan dan dipermudahkan segala urusan harian.

Lulusan Universiti Al-Azhar itu, yang merupakan bapa kepada lapan cahaya mata, gembira dan tidak pernah menyangka akan menerima anugerah tersebut.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Kerajaan Negeri Johor.

Amir yang berasal dari Tangkak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan sejak 1987 termasuk dalam Persatuan Pegawai Syariah, selain pernah berkhidmat sebagai Kadi Daerah dan Hakim Mahkamah Syariah.

Selain itu, Ramli Bandahara diumumkan sebagai penerima Anugerah Maal Hijrah Kategori Pendidikan, Rahmas Abdullah (Anugerah Maal Hijrah Kategori Penghayatan al-Quran) dan Datuk Mohd Roshidi Mohd Nor menerima Anugerah Maal Hijrah Kategori Khidmat Masyarakat. - Bernama