Warga emas 70 tahun antara 373 ditahan terlibat dadah

Polis Johor menerusi Ops Tapis selama tiga hari menahan pengedar dan penagih dadah di kawasan Felda seluruh negeri.
Polis Johor menerusi Ops Tapis selama tiga hari menahan pengedar dan penagih dadah di kawasan Felda seluruh negeri.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 373 individu termasuk 28 tokan dadah ditahan dengan pelbagai jenis dadah bernilai RM20,772 dirampas menerusi Ops Tapis Khas selama tiga hari berakhir Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua individu yang ditahan itu berusia 18 hingga 70 tahun termasuk 18 wanita kerana melakukan pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

"Dalam operasi yang bermula Rabu lalu, seramai 579 individu diperiksa dan 373 daripadanya telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah antaranya 27 kes bekalan, 54 kes memiliki dadah dan 292 penagih.

"Seramai 41 suspek yang ditangkap akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 28 suspek diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (LLPK) 1985.

"Turut ditangkap dalam operasi ini adalah 63 suspek berstatus orang dikehendaki dan 28 lagi merupakan tokan dadah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor bermula jam 1 pagi pada Rabu hingga jam 12 tengah malam Khamis melibatkan semua daerah di negeri ini.

Menurutnya, fokus utama operasi itu bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Kata Kamarul Zaman, pihak polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 143 gram (g), syabu (108.g), ganja (98g) dan pil erimin 5 (4 biji) yang dianggarkan bernilai RM20,773.

"Jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 1,358 orang penagih," katanya.

Beliau berkata, sejak awal tahun hingga Jumaat, JSJN Johor berjaya membuat 8,383 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 2.27 tan metrik dadah.

Menurutnya, keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM10.40 juta dengan hasil sitaan harta sindiket dadah bernilai RM5.95 juta.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 1,755 tangkapan dibuat menerusi Op Tapis Khas.

"Sejak awal tahun sehingga semalam, kita sudah memberkas 170 tokan dadah, jumlah ini meningkat berbanding 91 tangkapan yang dibuat dalam tempoh sama pada tahun lalu.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 86.81 peratus yang merupakan tangkapan tertinggi di antara kontinjen," katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat aktiviti pengedaran dadah yang berlaku melalui hotline JSJN Johor di talian 012-2087222.