YBR bantu 1,000 pelajar B40 di Melaka

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah), Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani (kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan ketika majlis penyampaian sumbangan bantuan persekolahan YBR baru-baru ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah), Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani (kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan ketika majlis penyampaian sumbangan bantuan persekolahan YBR baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan bernilai RM100,000 kepada 1,000 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di kawasan Tangga Batu, Kota Melaka dan Asahan, Melaka.

Pengerusinya, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan urusan kewangan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan khususnya kepada mereka daripada kumpulan B40.

“Cakna dengan situasi masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun ini di samping keadaan ekonomi tidak menentu, bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa atau penjaga menanggung sesi persekolahan dijalankan semasa fasa endemik.

“Bantuan disalurkan kepada mereka yang layak ini juga diharapkan dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus menuntut ilmu dan sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu mereka yang memerlukan bagi meneruskan kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan sehingga kini seramai 60,558 murid menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM6.72 juta sejak dari tahun 2018.

Bagi tahun 2022 pula, YBR berkata, sejumlah RM3 juta diperuntukan dalam program bantuan persekolahan.