Kerajaan jimat lebih RM20 bilion jika laksana subsidi bersasar

Muhyiddin (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama nelayan di Pelabuhan LKIM Chendering di Kuala Terengganu pada Sabtu.
Muhyiddin (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama nelayan di Pelabuhan LKIM Chendering di Kuala Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan mampu berjimat sehingga lebih RM20 bilion setahun dengan pelaksaan skim subsidi bersasar bagi membolehkan ia dinikmati oleh kumpulan penerima yang benar-benar layak.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, subsidi yang disalurkan kerajaan pada masa ini hanya dinikmati tidak sampai 20 peratus golongan B40 manakala selebihnya turut dinikmati golongan yang tidak berkaitan termasuk bukan warganegara.

"Hampir 51 peratus daripada subsidi ini digunakan oleh orang-orang dalam kategori berada. Orang kaya yang memiliki kenderaan besar, mereka ini turut memperoleh satu kadar harga yang disubsidi kerajaan.

"Cadangan pelaksanaan skim subsidi bersasar ini membolehkan kerajaan memperincikan lagi penerima supaya hanya kumpulan yang benar-benar layak mendapat manfaat," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim serta Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, mekanisme pelaksanaan skim itu bergantung kepada kerajaan bagi memastikan bantuan itu sampai kepada golongan sasar.

"Kajian secara kasar mendapati kerajaan boleh berjimat sehingga lebih RM20 bilion setahun jika skim ini dilaksanakan.

"Cuma, cara bagaimana sistem dan integrated sistem yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan perlu diteliti oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, cadangan pelaksanaan skim subsidi bersasar itu masih di peringkat kajian dan belum dibawa ke peringkat kabinet.

"Cadangan ini telah dibincangkan di peringkat majlis (MPN) dan akan dikemukakan di peringkat kabinet pada masa sesuai supaya ia boleh dilaksanakan mengikut prosedur yang lebih teratur," katanya.

Pada program itu, Muhyiddin turut menyampaikan bantuan Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) Terengganu berjumlah RM14.2 juta; bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Terengganu (RM4.2 juta) dan Dana Khas Persatuan Nelayan Terengganu berjumlah RM1.6 juta oleh MAFI bagi tahun 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!