Mat Kilau dipilih tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Pahlawan Pahang, Mat Kilau atau nama sebenarnya Allahyarham Muhammad Khatib Rasu Abdul Salam dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2022 pada Sabtu.

Anugerah disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan diterima waris (cucu) Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 53.

Mohd Alhamadi berkata, anugerah itu cukup bermakna dan membangkitkan lagi semangat waris dan orang Melayu khususnya untuk meneruskan perjuangan menegakkan syiar Islam.

Menurutnya, semasa hayatnya, Mat Kilau bersama ayahnya, Tok Gajah dan tokoh pejuang Pahang lain termasuk Datuk Bahaman berjuang menentang Inggeris atas dasar agama.

"Anugerah ini juga dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada perjuangan tokoh ini dalam menegakkan Islam di negeri ini.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Pemangku Raja Pahang atas pemilihan Mat Kilau sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang tahun ini," katanya ketika ditemui selepas majlis itu yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu.

Mohd Alhamadi bersama Sijil Tokoh Maal Hijrah dan replika cek yang diterimanya bagi pihak Mat Kilau.
Mohd Alhamadi bersama Sijil Tokoh Maal Hijrah dan replika cek yang diterimanya bagi pihak Mat Kilau.

Majlis yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Sementara itu Mohd Alhamadi berkata, sebagai waris, beliau cukup terharu dengan anugerah diterima arwah datuknya yang membuktikan jasa dan pengorbanan tokoh itu terus dikenang sehingga kini.

Menurutnya, dia sempat bersama Mat Kilau memandangkan datuknya itu dijaga orang tuanya selama hampir 30 tahun.

"Saya juga masih ingat pesanannya supaya berzikir dan membaca surah al-Ikhlas sebagai amalan harian justeru amalan itu juga sentiasa diamalkan dalam perguruan Seni Silat Tapak Setia Suci Warisan Mat Kilau yang diwarisi," katanya.

Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang kali ini, sebanyak lapan anugerah dianugerahkan kepada penerima.

Selain anugerah Tokoh Maah Hijrah, turut disampaikan Anugerah Pengkhidmat Agama yang diterima seorang pensyarah yang juga mantan Pengurus Kanan Akademik Maahad Tahfiz Negeri Pahang Abdullah Ismail.

Pegawai Perubatan, Fadilla Norli Muhammad dipilih sebagai Anugerah Inovasi Kakitangan Kerajaan,Swasta,Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) manakala Jabatan Penyiaran Negeri Pahang menerima anugerah itu bagi kategori jabatan.

Aktivis NGO Islam yang juga seorang arkitek, Amalina Lily Khoo Abdullah dipilih sebagai penerima Anugerah Mubaligh Saudara Baharu manakala Anugerah Batin Terbaik diterima Batin Kampung Orang Asli Lemoi, Cameron Highlands, Zainal Bah Siapa.

Bagi Anugerah Perkampungan Orang Asli Terbaik Negeri Pahang diterima Kampung Orang Asli Runchang, Pekan dan Anugerah Sukarelawan Ummah diterima Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP).

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (tengah) bersama kenamaan dan penerima anugerah.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (tengah) bersama kenamaan dan penerima anugerah.