Di mana hebatnya filem Mat Kilau

Poster filem biografi epik, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.
Poster filem biografi epik, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.
A
A
A

JENIS filem atau 'genre' filem tentang masyarakat tempatan terhadap penjajahan Inggeris, Itali, Sepanyol dan sebagainya, hampir semua mengguna cara persembahan gerak-geri dan dialog beria-beria dan bersemangat serta keterlaluan hebatnya watak utama.

Tidak banyak filem jenis ini yang dibuat dengan pengarahnya sengaja pilih untuk tidak keterlaluan dalam penghujahan dialog dan babak kepahlawanan dengan mereka menunjukkan kehebatan bersilat atau mengguna senjata api untuk menawan pegawai dan askar penjajah.

Filem tentang Mat Kilau terperangkap dengan cara ini sebab ia sesuai untuk penonton yang tidak begitu fasih bahasa filem, maka cara grafik dipilih sebab cara lain yang lebih lembut tidak akan menarik perhatian mereka.

Kita pernah menonton atau membaca tentang filem-filem yang menampilkan pahlawan menentang penjajah dalam filem lain seperti Cut Nyak Dhien, The Message atau Al-Risalah tentang perjuangan Nabi Muhammad SAW dan Lion of the Desert tentang Umar Mukhtar dan Gandhi.

Filem tentang Gandhi oleh Richard Attenborough telah menang beberapa anugerah Oscar dan ditayang ke seluruh dunia sebab Mahatma Gandhi itu sendiri sudah dikenali ramai.

Tetapi filem Lion of the Desert tentang pahlawan Libya yang menentang penjajah Itali diarah oleh Mustapha Akkad seorang rakyat Lubnan dan beragama Kristian juga mendapat perhatian dunia walaupun watak ini tidak terkenal berbanding dengan Gandhi.

Walaupun The Message yang juga diarah oleh Mustapha Akkad tentang perjuangan Nabi Muhammad SAW tetapi ia tidak menunjukkan wajah Nabi Muhammad SAW. Ia tetap mendapat sambutan dalam kalangan penonton bukan Islam.

Kedua-dua filem ini menelan perbelanjaan sebanyak AS$20 juta, berbanding dengan filem tentang Mat Kilau dan Cut Nyak Dhien yang menelan perbelanjaan kurang daripada itu.

Filem Cut Nyak Dhien diarah oleh Eros Djarot adalah tentang seorang wanita Aceh yang menentang penjajahan Belanda di Aceh dipilih oleh pesta filem Cannes yang terkemuka di dunia.

Filem Mat Kilau ternyata tidak dibuat dengan hasrat untuk diedar ke seluruh dunia, tetapi hanya untuk penonton filem tempatan sahaja dan oleh sebab ia mendapat sambutan luar biasa, maka pihak Netflix tertarik dengannya dan sanggup membayar RM7 juta.

Mat Kilau tidak dikenali oleh penonton antarabangsa dan ia mungkin amat sukar untuk menarik perhatian penonton bila disiar oleh Netflix nanti.

Ini berbanding dengan Cut Nyak Dhien yang telah mendapat pengiktirafan daripada pesta filem Cannes yang mungkin boleh menarik perhatian penonton antarabangsa kalau ia disiarkan oleh Netflix yang tidak wujud lagi bila filem ini diterbitkan pada awal 1990-an.

Pelakon utama filem ini dimainkan oleh Christine Hakim yang telah menempah nama sebagai pelakon handalan dan pernah berlakon dalam filem Hollywood dan juga Malaysia.

Cut Nyak Dhien mempunyai peluang untuk mendapat pengedaran di pawagam di negara barat, sebab ia ada elemen barat; dan kalau cara promosinya dibuat dengan baik, ia boleh diterima oleh ramai penonton khususnya di Itali sebab ia ada kaitan sejarah dengan Aceh dan Indonesia.

Mungkin di Indonesia mereka tidak pandang dengan ketokohan dan kepahlawanan Cut Nyak Dhien yang hanya merupakan pahlawan Aceh sedangkan di wilayah lain di seluruh Indonesia ada pahlawan tempatan yang turut menentang penjajah Belanda.

Tetapi ini tidak berlaku di India di mana tidak ada pahlawan menentang penjajah Inggeris yang sama tarafnya dengan Mahatma Gandhi yang berpendidikan di sebuah universiti di England dan merupakan seorang peguam; jadi tahap pemikirannya dan ketokohannya terserlah dengan adanya banyak buku yang ditulis tentangnya.

Salah satunya ialah, The Life of Mahatma Gandhi yang mana menarik perhatian Richard Attenborough untuk menghasilkan filem tentangnya.

Bayangkan kalau Cut Nyak Dhien diterbit oleh penerbit Hollywood atau Eropah dan dalam bahasa Inggeris! Sudah pasti ia akan diterima sama seperti Gandhi.

Sejarah Mat Kilau

Jadi di mana hebatnya filem Mat Kilau ini?

Filem ini kalau dilihat dari kaca mata penonton Melayu, ia hebat, tetapi hanya dari segi kejayaannya untuk mengutip puluhan juta ringgit di pawagam.

Tetapi dari segi meluas ke peringkat antarabangsa, ia tidak merupakan sebuah filem yang hebat.

Mat Kilau dalam filem dengan tajuk Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tak sama dengan Mat Kilau dalam sejarah.

Ini diakui oleh pembuat filem ini bila menyatakan sejak awal lagi bahawa filem ini bukan filem sejarah tetapi mengguna tokoh pahlawan Melayu Pahang.

Dan pakar sejarah yang telah menonton filem ini berkata hanya 10 peratus apa yang dipapar dalam filem ini benar dengan selainnya hanyalah fiksyen.

Memang Mat Kilau bukan pahlawan negara; beliau hanya pahlawan Pahang yang mempunyai sebab untuk berjuang, mengusir penjajah Inggeris berkenaan isu kutipan cukai dan bukan untuk mencapai kemerdekaan.

Di negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu dan juga Sabah dan Sarawak juga mereka ada pahlawan sendiri; pahlawan negeri seperti Mat Salleh di Sabah dan Rentap di Sarawak dan Dol Said di Negeri Sembilan dan lain-lain lagi.

Mat Kilau kemudian lama menghilangkan diri dan hanya menjelma kemudian pada tahun 1969 dan meninggal setahun selepas itu.

Jadi, buku tentangnya amat kurang dengan maklumat yang tidak dapat diguna untuk menerbit sebuah filem yang lengkap dan dengan ramai pakar sejarah sehingga kini mempertikaikan kisah tentangnya dan apa yang dilakukan oleh askar Sikh dan lain-lain peristiwa.

Mat Kilau boleh diangkat sebagai sebuah filem bertaraf antarabangsa, sekiranya penerbitnya mempunyai rakan dari kalangan penerbit di England dan ada pihak di Hollywood pula yang berminat dengannya untuk pilih filem ini untuk diedarkan di Amerika dan negara lain.

Malangnya, ini sukar untuk dibayangkan; jadi akhirnya, Mat Kilau hanya kisah tokoh tempatan dan filemnya juga hanya filem hiburan ringan dengan gerak aksi berlebihan dan ungkapan dialog yang penuh perasaan yang semuanya ini hanya boleh menarik perhatian penonton tempatan sahaja.

* Mansor Puteh merupakan seorang pengarah, pengkritik filem serta budaya