Gangguan elektrik: Pengguna terkesan akan nikmati rebat

A
A
A

KOTA BHARU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi rebat kepada 1 juta pemilik akaun yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik mengejut pada Rabu lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemberian rebat tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada Khamis ini.

"Jumlah 1 juta akaun yang terjejas itu merangkumi pengguna domestik, industri dan komersial.

"Bagaimanapun jumlah anggaran tidak dapat dipastikan lagi," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu ke 55 di sini pada Sabtu.

Menurutnya, ia melibatkan beberapa buah negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan dan beberapa negeri lain.

Beliau berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 12.39 tengah hari dan berjaya dipulihkan hanya mengambil masa selama dua jam 21 minit sahaja.

Katanya, ia merupakan satu tindakan yang cekap telah dilakukan oleh TNB bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan beberapa negeri di Semenanjung dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Selain Lembah Klang, gangguan turut berlaku di Pulau Pinang, Perak, Kedah, dan Pahang.

Takiyuddin (kiri) ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu ke 55 di sini pada Sabtu.
Takiyuddin (kiri) ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu ke 55 di sini pada Sabtu.