16 pingat emas bukan sasaran spesifik

Megat Shahriman mengakui sasaran sebenar adalah lebih tinggi berdasarkan kepada prestasi semasa atlet ketika ini.
Megat Shahriman mengakui sasaran sebenar adalah lebih tinggi berdasarkan kepada prestasi semasa atlet ketika ini.
A
A
A

SASARAN meraih 16 pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2022 sebenarnya bukanlah sasaran spesifik yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kepada kontinjen Malaysia.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden MPM, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin yang mengakui bahawa sasaran sebenar adalah lebih tinggi berdasarkan kepada prestasi semasa atlet ketika ini.

Malah, Megat Shahriman berkata, pihaknya hanya meletakkan sasaran berkenaan sebagai catatan terbaik peribadi (personal best) dalam usaha ‘mencabar’ atlet-atlet bertanding untuk memberikan yang terbaik.

“Betul... sebelum ini MPM kata tiada sasaran dan kita masih kekal tiada sasaran untuk APG kali ini. Cuma dalam sidang media baru-baru ini yang dikatakan 16 pingat emas itu sebenarnya boleh diklasifikasikan sebagai kayu pengukur atau catatan personal best daripada atlet yang bertanding pada APG kali ini.

“Kita juga sebenarnya tak letak pressure atau cuma lebih kepada mereka (atlet) supaya mereka dapat mencapai sebarapa tinggi limit (tahap) yang mereka boleh capai. Namun, kita letakkan sasaran 16 emas tu sebagai target tetapi kita target lebih sebab kita ada 173 atlet yang terlibat kali ini.

“Boleh juga dikatakan sebagai strategi kerana sudah lima tahun lamanya atlet-atlet ini tidak beraksi sejak Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 lalu. Kita challenge mereka agar mereka tidak terlalu yakin dan memberikan fokus untuk memenangi dalam setiap acara yang disertai kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Untuk rekod, kontinjen Malaysia yang dianggotai oleh 300 atlet berjaya menduduki tangga kedua dengan meraih 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa pada temasya APG Kuala Lumpur 2017.

Sementara itu, Megat Shahriman berkata, setelah lima tahun tidak beraksi di pentas APG, beliau tetap optimis dengan peluang barisan atlet para negara untuk meraih pingat pada temasya kali ini.

“Kali terakhir kita melihat mereka (atlet) bertanding adalah pada 2017 lalu dan ketika itu kesemuanya dilihat bersemangat. Diharapkan atlet-atlet pelapis kita mampu lakukan yang lebih baik kerana mereka merupakan generasi seterusnya bagi membawa cabaran negara.

“Selain itu, kita juga berharap untuk melatih mereka sebagai persediaan bagi menghadapi beberapa kejohanan akan datang termasuk Sukan Paralimpik di Paris,” jelasnya.