Arca jerami padi hangus disyaki angkara khianat

Arca jerami berbentuk pondok tradisional ditemui hangus terbakar pada Jumaat. (Gambar dalam) Bentuk asal arca jerami yang dihasilkan penduduk Kampung Terus sebelum ditemui terbakar.
Arca jerami berbentuk pondok tradisional ditemui hangus terbakar pada Jumaat. (Gambar dalam) Bentuk asal arca jerami yang dihasilkan penduduk Kampung Terus sebelum ditemui terbakar.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Salah satu arca jerami padi yang dihasilkan semasa Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang di Kampung Terus, Penanti baru-baru ini hangus dipercayai angkara perbuatan khianat.

Arca berbentuk pondok tradisional yang dibina oleh penduduk Kampung Terus itu dilaporkan terbakar kira-kira jam 11.50 malam pada Khamis.

Exco Agroteknologi, Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, arca terbabit sebelum ini dipilih sebagai pemenang tempat ketiga dalam pertandingan yang diadakan.

Menurutnya, kejadian itu amat mendukacitakan pihaknya selaku penganjur pesta berkenaan malah sebelum ini beliau berhasrat untuk menjadikan arca-arca yang dihasilkan sebagai tarikan pelancongan di Kampung Terus.

"Semua orang terutamanya penduduk kampung yang menghasilkan arca itu sedih dengan apa yang berlaku.

"Tidak pasti siapa yang lakukan perbuatan ini kerana malam tadi hujan lebat sebelum arca berkenaan ditemui hangus," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur khianat dalam insiden terbabit.