Semangat mengajar walaupun telah bersara

Zainol Abidin (kanan) menerima replika cek daripada Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara Datuk Mohd Razman Yaacob ketika Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kubang Pasu yang diadakan pada Rabu.
Zainol Abidin (kanan) menerima replika cek daripada Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara Datuk Mohd Razman Yaacob ketika Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kubang Pasu yang diadakan pada Rabu.
A
A
A

KUBANG PASU - Berpegang kuat pada niat murni untuk melihat kecemerlangan anak didiknya selain minat yang mendalam dalam bidang perguruan menyebabkan Zainol Abidin Mohamad, 63, masih terus mengajar walaupun telah bersara.

Semangatnya itu melayakkan beliau menerima Anugerah Tokoh Guru Daerah Kubang Pasu 2022 pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah yang diadakan pada Rabu.

Beliau yang masih aktif mengajar tuisyen berkata, seorang guru adalah mereka yang menanam niat untuk menjadi guru dan bukan hanya bekerja sebagai guru.

Katanya, bekerja sebagai guru bermakna hanya menjalankan tugas rasmi dalam sesi persekolahan, tidak proaktif dan hanya menunggu gaji pada setiap hujung bulan.

"Tetapi bagi individu yang mempunyai niat menjadi guru pula ia bermula dari hati yang ikhlas mendidik, membimbing tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

"Ketika ini wang ringgit bukan lagi ukuran malah sedia berbakti pada bila-bila masa dan di mana sahaja demi anak murid," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Non dalam kalangan pelajar berkata, sejak mula berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun (SMKC) pada tahun 1980, telah aktif mengadakan kelas tambahan secara percuma kepada pelajar.

"Ketika itu, saya mengajar Matematik dan Sains secara percuma di semua kampung sekitar Jitra dan Changlun.

" Saya tidak kisah tentang bayaran asalkan anak- anak bangsa dapat ilmu dan kepuasan diterima apabila mereka dapat keputusan cemerlang dalam subjek diajar," katanya.

Cikgu Non yang juga anak jati Changlun berkata, memandangkan sering kali dijemput untuk menyampaikan ceramah teknik menjawab SPM dia akhirnya mengambil keputusan bersara awal pada tahun 2007.

"Saya bermula di SMKC dan bersara di sekolah yang sama. Selepas bersara, saya semakin aktif terlibat dengan bengkel teknik menjawab peperiksaan di seluruh negara sehingga kini.

"Walaupun kadang-kadang tidak cukup rehat tetapi tidak pernah rasa terbeban, semua itu akan hilang bila pelajar berkongsi kejayaan mereka setelah mengikut teknik yang diajar," katanya.

Zainol Abidin (kiri) menerangkan formula menjawab soalan matematik kepada salah seorang pelajar ketika bengkel teknik menjawab.
Zainol Abidin (kiri) menerangkan formula menjawab soalan matematik kepada salah seorang pelajar ketika bengkel teknik menjawab.

Ujar bapa kepada empat cahaya mata itu, sehingga kini dia masih mempunyai hubungan yang baik dengan bekas pelajarnya.

"Ramai bekas pelajar yang masih menghubungi, malah ada yang hantar anak-anak mereka pula belajar dengan saya di pusat tuisyen di Jitra.

"Zaman dahulu memang hubungan antara guru dengan pelajar sangat akrab, tidak seperti sekarang ada segelintir tidak hormat guru yang memberi mereka ilmu," katanya.

Menurutnya, Anugerah Tokoh Guru yang diterima itu menjadi penguat semangat dan iltizam untuk terus mendidik anak-anak bangsa sehingga mencapai kecemerlangan dalam dunia pendidikan.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak terutamanya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu dan yang terlibat dalam proses pemilihan ini.

Zainol Abidin aktif terlibat dalam bengkel teknik menjawab setelah bersara.
Zainol Abidin aktif terlibat dalam bengkel teknik menjawab setelah bersara.

"Tidak lupa juga kepada ahli keluarga yang banyak berkorban dan memberi sokongan kepada saya selama ini," katanya.

Biodata:

Nama Penuh: Zainol Abidin Mohamad

Asal: Pekan Lama Changlun

Isteri: Mumtaj Hassan (59 tahun)

Anak-anak:

1.Rusyidah (32 tahun)

2.Mohd Alias (31 tahun)

3.Mohd Hanif (26 tahun)

4.Mohd Rafiq (24 tahun)

Akademik:

1.Sekolah Rendah Sultan Ahmad Tajuddin

2.Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra.

3. Universiti Pendidikan Sultan Idris (Diploma in Matematik)

4.Universiti Utara Malaysia (BBA HONS)

Pengalaman Kerja:

Guru di SMK Changlun (1980-2007)

Penglibatan dalam NGO:

1.YDP PIBG Sekolah Kebangsaan Dato' Wan Kemara ( 2007 - kini)

2.YDP SMK Changlun (2011 - kini)

3.YDP SMK Jitra ( 2012 - kini)

4 YDP PIBG/PIBKS Daerah Kubang Pasu (2018- kini)

5.YDP PIBKS Negeri Kedah 2021 -kini)

6.Focal Person Kebangsan KPM ( 2020 - kini)

7.Ahli Majlis Eksekutif Persatuan Alumni UUM ( 2022- kini)

Anugerah:

1.Ikon PIBK/PIBG Daerah Kubang Pasu

2.Tokoh YDP Cemerlang Peringkat Negeri Kedah 2022