AUG 2022: Malaysia mara ke final compound lelaki, wanita

Muhammad Syafiq(kiri) dan Iman Aisyah berjaya melayakkan diri dalam acara compound individu lelaki serta wanita selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir.
Muhammad Syafiq(kiri) dan Iman Aisyah berjaya melayakkan diri dalam acara compound individu lelaki serta wanita selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir.
A
A
A

PEMANAH negara, Mohd Syafiq Md Ariffin dan Iman Aisyah Norazam mempamerkan prestasi cemerlang apabila mengesahkan tiket final acara individu lelaki dan wanita compound Ahad ini pada temasya Sukan Universiti ASEAN 2022 di Stadium Utama PAO, Ubon Ratchathani, Thailand

Pada aksi tersebut, Mohd Syafiq mara selepas menewaskan rakan senegara Eugenius Loh Foh Soon 146-145 (28-30, 29-29, 29-29, 30-30, 30-27) di peringkat separuh akhir.

Menanti Syafiq di pusingan akhir ialah wakil Indonesia, Hendika Pratama Putra yang mara selepas menewaskan seorang lagi wakil Malaysia, M Khambeswaran 149-142 ( 30-27, 30-28, 29-28, 30-30, 30-29).

Dalam acara compound wanita akhir pula, Iman Aisyah mara selepas menewaskan pemanah Indonesia, Syahara Khoerunisa, 142-140 (27-28, 30-26, 29-30, 27-30, 29-26) untuk menempah pertemuan dengan wakil tuan rumah, Bunyapalin Nichapat.

Bunyapalin mara selepas menewaskan atlet Myanmar, Hlang Su Su 145-140, (28-28, 30-28, 28-27, 29-29, 30-28)

“Peluang untuk Malaysia raih emas adalah 50-50 pada perlawanan akhir nanti kerana lawan kedua-kedua mereka itu kuat.

“Jadi saya harap kondisi mereka di perlawanan akhir nanti berada di tahap terbaik dan kalau boleh kena kurangkan kesilapan jika mahu mencerahkan peluang raih pingat emas,” kata pengurus pasukan, Suhardi Abdullah.

Bagi pingat gangsa acara Compound lelaki, dimenangi Malaysia menerusi Eugenius selepas menewaskan Khambeswaran 144-143 ( 30-30, 28-28, 29-30, 28-27, 29-28) pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.