13 peniaga terima bantuan peralatan niaga

Mas Ermieyati (kiri) menyerahkan peti sejuk beku kepada Norlelawati di Masjid Tanah pada Jumaat.
Mas Ermieyati (kiri) menyerahkan peti sejuk beku kepada Norlelawati di Masjid Tanah pada Jumaat.
A
A
A

ALOR GAJAH - Diduga dengan masalah pernafasan membuatkan seorang wanita dari Kampung Hailam, Pengkalan Balak, di sini hilang sumber pendapatan sebagai kru pengurusan acara dan mengambil keputusan menjual burger sejak dua tahun lalu.

Norlelawati Md Isa, 42, berkata, sebelum ditimpa penyakit itu, dia memperoleh pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 sebagai kru pengurusan acara, namun segalanya berubah apabila terpaksa menggunakan bantuan mesin oksigen setiap malam kerana kesukaran bernafas.

Menurutnya, meskipun kesihatannya terjejas, namun ia bukan penghalang buatnya untuk memperoleh sumber pendapatan sendiri dengan menjual burger bermula jam 6 petang hingga 2 pagi berdekatan kedai Mara Pengkalan Balak.

"Cuma masalahnya, dari mula berniaga sehingga sekarang saya tidak pernah ada kemudahan peti sejuk beku dan terpaksa tumpang kedai orang untuk menyimpan daging burger dan bahan mentah yang lain.

"Disebabkan kemudahan itu menjadi satu keperluan, jadi saya memohon kepada Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah dan bersyukur apabila dalam tempoh beberapa bulan saya telah menerima bantuan itu," katanya ketika ditemui pada program sumbangan usahawan oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Masjid Tanah pada Jumaat.

Norlelawati berkata, bantuan diterimanya itu sedikit sebanyak menjadi perangsang buatnya untuk lebih gigih dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima bantuan terbabit, Anis Afarina Daud,29, yang mengusahakan kedai makan di Balik Batu, Tanjung Bidara berkata, meja tebar roti canai yang diterimanya itu dapat menggantikan peralatan sedia ada yang semakin uzur.

Anis Afarina (dua dari kiri) gembira menerima bantuan meja tebar roti canai pada Jumaat.
Anis Afarina (dua dari kiri) gembira menerima bantuan meja tebar roti canai pada Jumaat.

"Lagipun saya rancang nak tambah lokasi niaga di Medan Selera Tanjung Bidara, jadi banyak lagi peralatan yang perlu saya sediakan.

"Kalau semuanya nak beli baharu, memang saya tak mampu dan bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima," katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, bantuan yang diberikan itu atas keprihatinan pihaknya dalam memperkasakan usahawan khususnya kalangan warga Parlimennya dengan jumlah peruntukan hampir RM20,000.

"Pada kali ini seramai 13 peniaga dipilih dan bantuan peralatan ini berdasarkan keperluan niaga yang mereka mohon kepada pihak kita untuk dipertimbangkan," katanya.

Sebelum itu, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) melawat lima buah rumah yang menerima bantuan baik pulih bumbung dengan keseluruhan kos berjumlah RM50,000.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan pendidikan kepada enam penerima dengan peruntukan RM19,800.