‘Lucu tapi ia menyenangkan’ - Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Ahli Dewan Rakyat yang pernah 'lompat parti' menyokong Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Rakyat pada Khamis sebagai melucukan, namun pada masa sama menyenangkan.

Menurutnya, keputusan majoriti dua pertiga terhadap RUU itu jelas memberikan kemenangan besar buat rakyat dan melihatnya sebagai undang-undang anti khianat, anti belot dan anti menipu rakyat.

“Melucukan semalam (Khamis), (apabila) kita dapati dalam kalangan 209 ahli Parlimen termasuk daripada Pakatan Harapan, orang-orang yang bersekongkol dalam komplot khianat dan golongan 'melompat parti' pun turut mengundi.

“Perkara itu agak lucu tapi menyenangkan, Alhamdulillah.

Ini adalah satu kemenangan kepada rakyat.

Apabila kita pilih... kita yakin Insya-ALLAH tidak lagi belot kerana ugutan, takut dengan tindakan, wang ringgit atau kedudukan,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menegaskan, kelulusan RUU itu adalah sebahagian daripada ketetapan Memorandum Persefahaman (MoU) yang diputuskan antara pihak pembangkang dengan kerajaan.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti telah diluluskan pada Khamis selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga.

Artikel Berkaitan:

Undi belah bahagian yang dimulakan pada jam 4.45 petang itu menyaksikan seramai 209 bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas selesai kiraan dibuat pada jam 5.12 petang.

RUU paling dinanti-nanti itu diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 ahli Parlimen mewakili pelbagai parti politik daripada pihak kerajaan dan blok pembangkang.