Bakal jadi pengeluar hasil tenusu segar

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohamad Rafie
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohamad Rafie
A
A
A

NILAI - [DIKEMAS KINI] Negeri Sembilan bakal menjadi pengeluar hasil tenusu segar berskala besar di negara ini melalui pengoperasian syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) di sebuah ladang seluas 2,726 hektar di Gemas.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, projek dengan nilai pelaburan RM2 bilion itu dijangka beroperasi pada tahun ini dengan sasaran pengeluaran susu segar pertama pada Disember 2024.

" Ini merupakan salah satu projek penternakan tenusu bersepadu yang terbesar di negara ini dalam usaha membangunkan ladang ternakan lembu susu.

"Pada peringkat awal nilai pelaburan adalah sebanyak RM700 juta tetapi dijangka meningkat secara berperingkat sehingga RM2 bilion," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Ns Fest 2022 dan Pelancaran Jalur Gemilang di Dataran Nilai di sini, pada Khamis.

Menurutnya, sebagai permulaan, sebanyak 4,000 ekor lembu ternakan lembu susu dari luar negara akan dibawa masuk dan dijangka bertambah sehingga 20,000 ekor lembu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan bertindak sebagai penyelaras bagi membantu dan mempermudahkan syarikat F&N melabur di negeri ini.

"Pembukaan operasi ladang F&N ini juga dapat mewujudkan 150 ke 200 peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk Negeri Sembilan khususnya di Gemas.

"Kerajaan negeri berharap mereka yang mempunyai tanah dapat mengusahakan tanaman bijirin khususnya jagung sebagai sumber makanan kepada ternakan ini," katanya.

Tambahnya, projek berskala besar itu juga dilihat mampu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan empat daerah di Negeri Sembilan iaitu Rembau, Kuala Pilah, Tampin dan Jempol sebagai pembangunan agropolis yang menerapkan elemen pertanian.