MBJB kutip 9.8 tan sampah 'tingkap', sampah longgok

Mohd Noorazam (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara MBJB bersama JPS Johor di Menara MBJB pada Khamis.
Mohd Noorazam (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara MBJB bersama JPS Johor di Menara MBJB pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 9.8 tan sampah dikutip Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menerusi kerja-kerja pembersihan 'litter picking' yang dilakukan bermula awal bulan ini sehingga 23 Julai lalu.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, pembuangan sampah merata-merata termasuk 'sampah tingkap' dan sampah longgok di atas jalan raya dilihat semakin dijadikan kebiasaan dalam kalangan orang ramai.

Katanya, situasi itu menyebabkan MBJB terpaksa melakukan aktiviti pembersihan 'litter picking' bagi memastikan kawasan jalan raya di bandar raya ini tidak dipenuhi sampah sarap.

"Sebanyak 12 lokasi di sekitar bandar raya terlibat dengan aktiviti gotong-royong ‘litter picking' bermula pada Rabu.

"Aktiviti gotong-royong akan dilaksanakan setiap dua minggu sekali.

"Menerusi gotong-royong ini, MBJB berharap dapat memupuk sikap kesedaran dalam kalangan orang ramai untuk lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan dan keindahan bandar raya Johor Bahru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB di sini pada Khamis.

Sebelum itu, Mohd Noorazam menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBJB bersama Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Johor.

Hadir sama, Ketua Whip Ahli Majlis MBJB, Datuk Mohamad Dolmat dan Timbalan Setiausaha MBJB, Nazatul Shima Mohamad.

Dalam pada itu, Noorazam memaklumkan sebanyak 1,542 aduan berkaitan pokok tumbang, rosak dan berisiko adalah merupakan aduan tertinggi diterima MBJB setakat Jun lalu.

Katanya, bagi tempoh yang sama sebanyak 1,026 aduan diterima berkaitan lampu atau pencahayaan, diikuti jalan (919), pembersihan awam (908), haiwan perosak (895) dan tempat letak kenderaan (592).

"Sebanyak 6,476 aduan telah diselesaikan sehingga Jun lalu. Daripada jumlah itu 5,000 aduan telah diselesaikan dalam tempoh masa 15 hari," katanya.