Pelajar IKM reka perangkap tikus guna paip PVC

Marzuki (tengah) bersama 16 pelajar IKM Tan Sri Yahaya Ahmad yang mereka cipta perangkap tikus menggunakan paip PVC.
Marzuki (tengah) bersama 16 pelajar IKM Tan Sri Yahaya Ahmad yang mereka cipta perangkap tikus menggunakan paip PVC.
A
A
A

PEKAN - Sekumpulan pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Tan Sri Yahaya Ahmad di sini berjaya mereka cipta perangkap tikus yang dihasilkan daripada paip polivinil klorida (PVC).

Jurucakap kepada projek itu, Nazirul Shazmim Abdul Mufshim berkata, idea mereka cipta perangkap itu datang selepas mendapati kebanyakan pesawah padi di sekitar pusat pengajian berkenaan terpaksa menggunakan racun bagi mengurangkan masalah tikus.

Namun menurutnya, cara terbabit bukan sahaja membunuh haiwan berkenaan tetapi turut membahayakan burung pemangsa dan hidupan liar lain.

“Sebelum ini, kami selalu mendengar keluh kesah pesawah di sini berkaitan haiwan perosak iaitu tikus dan seterusnya turun padang untuk meninjau masalah mereka.

“Banyak tanaman mereka rosak disebabkan perbuatan haiwan terbabit, jadi saya bersama 15 pelajar lain merasakan perlu mereka cipta satu alat dan dipersetujui pensyarah.

“Seterusnya terhasil projek perangkap tikus menggunakan paip PVC dengan kaedah kelestarian alam,” katanya ketika ditemui di IKM Tan Sri Yahaya Ahmad di sini pada Khamis.

Beliau menjelaskan, kelebihan rekaan ini adalah perangkap tersebut sangat kukuh dan tidak mudah rosak walaupun dipijak haiwan lebih besar seperti lembu atau babi hutan.

Tambahnya, malah kos membuatnya juga murah dan peralatan pembuatannya juga mudah didapati.

Pelajar IKM Tan Sri Yahaya Ahmad meletakkan perangkap tikus yang direka mereka di sawah padi di Pekan.
Pelajar IKM Tan Sri Yahaya Ahmad meletakkan perangkap tikus yang direka mereka di sawah padi di Pekan.

“Prototaip pertama disiapkan dengan kos kurang daripada RM50 menggunakan sepenuhnya paip PVC yang mudah didapati. Kami mengambil masa hampir dua bulan untuk menyiap dan mengujinya bagi memastikan alat ini dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah IKM Tan Sri Yahaya Ahmad, Marzuki Mahamad Radz berkata, pensyarah dan pelajar sentiasa digalakkan untuk berinovasi terutama yang boleh memberi manfaat masyarakat setempat.

Jelasnya, malah perkara ini akan menambah nilai kepada para pelajar setelah mereka tamat pengajian nanti.

"Bagi saya sekiranya pelajar-pelajar ini mempunyai minda atau pun idea dari segi inovasi, ia merupakan satu nilai tambah bagi mereka sekiranya mereka keluar nanti sama ada menjadi usahawan atau pekerja di industri atau di syarikat" ujarnya.

Bagi seorang pesawah padi, Sheikh Abdul Rahim Sheikh Muhammad, 50, dia memuji bakat pelajar berkenaan kerana berjaya mencipta perangkap tikus itu.

Katanya, selain itu, alat berkenaan juga menggunakan PVC yang kukuh dan boleh dibawa ke mana-mana sahaja

“Bagus sangat apa yang diusahakan, perangkap tikus ini tidak tidak merosakkan alam sekitar berbanding penggunaan racun,” katanya.