Lebih RM4 juta rugi akibat pinjaman ah long, Johor rekod kes tertinggi

Ismail bercakap semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Ismail bercakap semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 506 kes melibatkan pinjaman wang tidak berlesen atau ah long dilaporkan mulai Januari hingga Jun tahun ini dengan nilai kerugian RM4,280,279 di seluruh negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah itu, Johor mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 86 kes.

Tegasnya, pelbagai usaha telah dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen daripada terus berleluasa.

“Ia termasuklah dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan seterusnya menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam penipuan.

“Sepanjang tempoh kajian Januari hingga Jun tahun 2022, seramai 744 tangkapan telah dibuat dan sebanyak 241 pertuduhan telah pun dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang memintanya menyatakan statistik mengikut negeri bagi kes pinjaman wang tidak berlesen seperti ah long, 'scammer' dan judi dalam talian di Malaysia.

Menyentuh mengenai jenayah penipuan dalam talian, Ismail berkata, sebanyak 10,468 kertas siasatan telah dibuka dengan melibatkan kerugian sebanyak RM362,614,896 bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 5,169 pertuduhan telah pun dilaksanakan bagi jenayah 'scammer' pada tempoh yang sama.

“Kepesatan pembangunan dan kecanggihan era teknologi, ia telah membawa kepada wujudnya pelbagai aplikasi yang membantu memudahkan kehidupan masyarakat moden sama ada dari segi komunikasi, sosial, pertukaran maklumat dan sebagainya antara faktor penipuan dalam talian semakin meningkat ketika ini,” katanya.