Didakwa edar dadah, kontraktor berdepan hukuman mati

Yip Simon dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, atas dakwaan mengedar dadah seberat 10.35kg.
Yip Simon dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, atas dakwaan mengedar dadah seberat 10.35kg.
A
A
A

IPOH - Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, pada Khamis atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 10.35kg.

Mengikut fakta kes, tertuduh, Yip Simon, 35, tanpa sebarang kebenaran atau kuasa dalam mana-mana Akta Dadah Berbahaya 1952 didakwa melakukan perbuatan tersebut lebih kurang jam 4.40 petang di kawasan tempat letak kereta, Pusat Makanan Gunung Rapat Enam Enam, Jalan Raja Musa Mahadi pada 21 Julai 2022.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(B) (1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Tertuduh mengaku faham ke atas pertuduhan yang dibacakan, bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam, J Matthews.

Dalam pada itu, Matthews mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk anak guamnya membuat laporan polis bagi membolehkan ia digunakan dalam perbicaraan.

Tertuduh bagaimanapun tidak diberikan sebarang jaminan.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus membenarkan tertuduh membuat laporan polis dan menetapkan 11 Oktober 2022 bagi sebutan semula kes serta serahan laporan kimia.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Matthews memaklumkan isteri tertuduh yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis.

Pada 21 Julai lalu, polis menahan sepasang suami isteri disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam satu operasi di Ipoh pada Khamis lepas.

Lelaki warga tempatan berusia 35 tahun dan isterinya warga Vietnam berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) sekitar jam 4.40 petang.