Tindakan cabar kedaulatan Perlembagaan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) berpendapat tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk mengambil Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) mencabar status quo kedaulatan Perlembagaan dan boleh mewujudkan dualisme sistem pendidikan.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, pengiktirafan tersebut perlu melalui mesyuarat Kabinet dan bukan dilakukan terburu-buru tanpa pengetahuan Kementerian Pendidikan.

"Kami melihat pengiktirafan ini membawa kepada pelebaran jurang perpaduan antara semua kaum manakala usaha memupuk perpaduan melalui wadah pendidikan sukar direalisasikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengiktirafan UEC: Rais bidas tindakan Peguam Negara

"Bahkan ia menganaktirikan murid yang telah melalui sistem pendidikan arus perdana terutama di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Thomas yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profession Undang-Undang (LPQB) dalam satu kenyataan berkata, CLP akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 untuk tujuan tersebut mulai Januari 2021.

Menurutnya, pemegang sijil kelayakan UEC ini juga perlu memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), O-Levels atau setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, pihaknya melihat sekolah kebangsaan perlu diperkasa sebagai sekolah pilihan semua kaum dan pengiktirafan tersebut hanya akan melemahkan usaha memperkasa sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap kebenaran menyambung CLP ini perlu mengambil kira pandangan semua pihak dan tidak menyentuh sensitiviti kaum yang boleh gugat keharmonium negara.

"Saya juga mendesak supaya pihak yang berkaitan menangani isu graduan undang-undang USIM yang belum diiktiraf dan mendapat kelulusan penuh lagi," katanya.

Semalam, Pemuda UMNO mendesak Thomas berlaku adil dengan memberikan pengikrafan penuh Kelayakan Profession Undang-Undang kepada program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Exco Biro Akademik dan Mahasiswanya, Farhan Khairuddin berkata, ia bertujuan memastikan graduan dari intitut pengajian tinggi awam (IPTA) itu tidak perlu menduduki Peperiksaan CLP untuk menjadi pengamal undang-undang.