Selangor teliti rancakan industri aeroangkasa

Chang Khim
Chang Khim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang meneliti langkah-langkah yang perlu dilaksanakan bagi merancakkan semula industri aeroangkasa setelah negara memasuki fasa pemulihan pandemik Covid-19.

Exco Industri dan Perdagangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, antara strategi yang diambil olah kerajaan Selangor adalah dengan pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Rabu.

"Salah satu fokus utama dalam RS-1 adalah industri aeroangkasa kerana ia merupakan kesinambungan daripada inisiatif Roundtable Meeting (RTM) pada tahun lalu bersama kedutaan-kedutaan asing di Malaysia, misi-misi penggalakan ke luar negara serta suara-suara industri secara kolektif serta program 'talent development aerospace'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha mengenai status industri aeroangkasa dan perancangan kerajaan Selangor dalam sektor itu semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis.

Chang Khim berkata, lebih 62 peratus ekonomi aeroangkasa terletak di negeri ini, namun ia dilanda teruk akibat pandemik Covid-19 secara global.

Bagaimanapun, katanya, industri aeroangkasa sebuah industri strategik, serta perlu diberi perhatian sewajarnya dalam menggalakkan aktiviti ekonomi negeri Selangor pasca pandemik Covid-19.

"Antara matlamat strategik adalah penambahbaikkan infrastruktur serta peningkatan saling berhubung antara lapangan-lapangan terbang sedia ada," jelas beliau.

Katanya, Mesyuarat Majlis Aeroangkasa Selangor terdiri daripada ketua ketua pegawai eksekutif di dalam industri ini telah bertukar pandangan dan mengetengahkan pendapat tentang status industri aeroangkasa dan juga status tindakan di dalam Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor.

"Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah seperti program 'reskilling' untuk pekerjaan seperti juruteknik dan juruterbang supaya mereka memperoleh status 'fit to work'.

Jelas beliau, Invest Selangor turut terlibat di dalam penghasilan Industrial Skills Framework (IndSF) untuk sektor pembuatan, pembaikan dan baikpulih (MRO) yang bertujuan untuk merapatkan jurang antara permintaan daripada industri dan bakat yang sebenar yang dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi anjuran HRD Corp.

Ujar beliau, kerajaan negeri juga melihat sewaktu dilanda pandemik Covid-19 rantaian bekalan di dalam industri ini tergendala oleh kerana negara banyak bergantung dengan penyedia-penyedia luar negara.

"Sehubungan itu,kerajaan Selangor bersama pemain-pemain industri giat mencari peluang kerjasama dan alternatif baharu dalam rantaian bekalan supaya dapat mengurangkan kebergantungan aktiviti mengimport," katanya.