LBS Bina Group sasar jualan RM1.6 bilion

A
A
A

Tan Sri Lim Hock San mengumumkan pencapaian angka jualan yang memberangsangkan dan berkongsi jangkaan pencapaian bagi separuh kedua syarikat.
Tan Sri Lim Hock San mengumumkan pencapaian angka jualan yang memberangsangkan dan berkongsi jangkaan pencapaian bagi separuh kedua syarikat.



SHAH ALAM - Syarikat pemaju perumahan, LBS Bina Group Berhad (LBS) mensasarkan jualan sebanyak RM1.6 bilion pada tahun ini.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata,pihak syarikat telah mencapai lebih RM1 bilion sehingga pertengahan tahun ini.

“Ini merupakan pencapaian luar biasa dan terima kasih buat semua tenaga kerja Kumpulan LBS yang telah banyak berjasa kepada syarikat sehingga hari ini.

“Syarikat akan memberi tumpuan kepada penglibatan aktiviti pekerja dan berharap semua kakitangan mengambil bahagian agar dapat memupuk semangat kerja berpasukan sekaligus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih baik dan produktif,”katanya pada Mesyuarat ‘Town Hall’ ke-2 tahun 2022, di Ibu Pejabat LBS, Petaling Jaya, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, LBS akan meningkatkan produktiviti yang optimum dan persekitaran kerja yang lebih baik, pendigitalan dan automasi merupakan satu lagi aspek yang akan diutamakan.

“Kami menyasarkan untuk mempertingkatkan lagi sistem robotik kami yang akan membantu meningkatkan produktiviti dan menyelaraskan proses sedia ada.

“Menerusi kemampuan ini, kami mempunyai akses kepada data informasi yang telus. Ini dapat membantu syarikat untuk menyusun strategi rancangan dengan lebih berkesan,”katanya.

Mesyuarat ‘Town Hall’ dengan tema 'Bersama, Kita Maju Ke Hadapan’ yang diadakan secara atas talian dan fizikal itu bertujuan untuk berkongsi mengenai prestasi dan aktiviti syarikat.

Tan Sri Lim Hock San menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh kakitangan pekerja mengenai prestasi, potensi dan strategi syarikat semasa mesyuarat 'Town Hall' kedua LBS Bina Group.
Tan Sri Lim Hock San menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh kakitangan pekerja mengenai prestasi, potensi dan strategi syarikat semasa mesyuarat 'Town Hall' kedua LBS Bina Group.

Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wira Lim Hock Guan.

Menurut Hock Guan, kedua-dua kumpulan LBS dan MGB perlu membentuk ruang kerja kolaboratif pasti membuahkan hasil yang lebih baik.

“Bukan sahaja kita perlu bekerja sebagai satu pasukan tetapi juga mengamalkan ketelusan antara satu sama lain, sama ada kemahiran, bakat, mahupun cabaran.

“Mengabaikan mana-mana komponen ini boleh membawa kepada permasalahan yang akan menghalang usaha untuk mencapai sasaran syarikat.

“Pendigitalan juga tidak dinafikan telah mempercepatkan proses sedia ada. LBS akan terus menekankan kepentingan pendigitalan dan mengadaptasi teknologi ini untuk kemajuan syarikat,”katanya.

Kelainan baharu dalam mesyuarat ‘Town Hall’ pada kali ini adalah sesi forum yang bertajuk 'Kejayaan Dengan Transformasi: Pendigitalan & Pemusatan'.

Forum ini membuka peluang untuk pekerja mengemukakan sebarang pertanyaan, pendapat atau cadangan bagi meningkatkan penglibatan dan ketelusan dalam kalangan pekerja.

Mesyuarat ‘Town Hall’ menjadi salah satu platform komunikasi rasmi bagi syarikat dan pihak pengurusan serta pekerja untuk berkongsi maklumat terkini.

Pendekatan hibrid yang berlangsung secara atas talian dan fizikal tersebut berjaya menerima kehadiran 800 kakitangan pekerja daripada kedua-dua syarikat LBS Bina Group Berhad dan MGB Berhad.