'Tun M tak mahu Anwar jadi PM'

Dr Asyraf Wadji ketika bercakap dalam Wacana Sinar Harian di Auditorium Karangkraf, di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Asyraf Wadji ketika bercakap dalam Wacana Sinar Harian di Auditorium Karangkraf, di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan dua pertiga kerusi dalam Parlimen kerana mahu menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Itu dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berpendapat Ketua AMK, Akmal Nasir perlu risaukan kerana Anwar adalah presidennya.

“Saya tak rasa, dua pertiga seperti yang dikatakan sebentar tadi (komen panelis, Dr Mazlan Ali) saya tak rasa Tun Dr Mahathir nak dua pertiga untuk persempadanan, tapi beliau tidak mahu Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Itu yang patut Akmal risau kerana Anwar adalah presidennya. Kalau kata Akmal jujur PH hanya martabatkan demokrasi matang, mereka seharusnya matang untuk tidak terima ahli UMNO yang dianggap sampah, korup.

“Tetapi kerana nak puaskan hati perdana menteri yang tak mahu presiden PKR menjadi perdana menteri, dia masukkan Ahli Parlimen UMNO. Itu yang saya fikir Akmal patut perjuangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Ke-99 bertajuk ‘Pas - UMNO Bergabung, Apa Kesan Demografi Politik?’ di Auditorium Karangkraf, di sini, petang tadi.

Tambah beliau, biarkan UMNO dan Pas terus bekerjasama deni kebaikan umat dan beliau merasakan kedua-dua parti itu perlu terus suarakan suara rakyat yang kini semakin gelisah dengan kos sara hidup kian meningkat.

Artikel Berkaitan: