Pelanjutan SOSMA beri lebih jaminan keselamatan negara

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Keselamatan negara akan lebih terjamin dengan pelanjutan pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Ahmad berkata, menerusi sesi penggulungan dilakukan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Negara pada Selasa berkaitan akta tersebut, beliau yakin tidak ada lagi sebarang alasan untuk mana-mana pihak menentang usul berkenaan.

“Dengan pelanjutan SOSMA bulan Ogos nanti, keselamatan negara akan lebih terjamin dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan tugasan mereka memelihara keselamatan negara dengan lebih tersusun dan efisien lagi.

"Alhamdulillah hari ini saya bersama ahli Dewan Negara lain telah mengundi dan bersetuju dengan pelanjutan SOSMA! Tahniah Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas kejayaan pertahankan SOSMA di Dewan Rakyat dan Dewan Negara!” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Sidang Khas Dewan Negara pada Rabu meluluskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) SOSMA untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Usul yang dibentang oleh Hamzah Zainudin itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Ketika membentangkan usul itu, Hamzah berkata, Subseksyen 4(5) perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Subseksyen itu antaranya menyebut, seorang pegawai polis berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.

Hamzah ketika menggulung perbahasan usul itu menafikan pelanjutan subseksyen itu membolehkan berlakunya penindasan mahupun kezaliman terhadap tahanan.

Hamzah berkata, hak asasi individu, hak berjumpa peguam dan hak supaya waris dimaklumkan mengenai tangkapan berkenaan sudah sedia ada dalam akta itu.