Fahmi persoal status penguatkuasaan MoU kerajaan-PH

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil membangkitkan persoalan mengenai status penguatkuasaan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan blok terbesar pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

Ia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu memaklumkan tiada lagi perjanjian atau MoU baharu bakal dimeterai antara kedua-dua pihak itu.

“Hari ini, Perdana Menteri memberitahu kerajaan memutuskan tidak akan membuat perjanjian atau MoU baharu dengan pembangkang. Adakah ini bermaksud MoU yang ditandatangani pada 13 September 2021 masih berkuatkuasa atau terbatal?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Ismail dalam laporan sama memaklumkan, persetujan untuk tidak mewujudkan perjanjian atau MoU baharu itu telah dicapai semasa pertemuan sebelum ini antara beliau yang mewakili kerajaan dan pemimpin utama pembangkang khususnya PH.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera turut menjelaskan bahawa tarikh 31 Julai yang dirujuk dalam MoU itu adalah mengenai supaya Parlimen tidak dibubarkan sebelum tarikh itu dan bukannya melambangkan tarikh tamat MoU.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, Perkara 2.1 dalam MoU tersebut menyatakan MoU itu hendaklah berkuatkuasa daripada tarikh perjanjian ditandatangani dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14.

“Ini dengan jelas bermaksud MoU sedia ada ini kekal berkuatkuasa sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya yang turut menyatakan berdasarkan MoU tersebut, pembubaran Parlimen boleh dibuat pada bila-bila masa selepas 31 Julai ini.

“Selagi mana Parlimen belum dibubarkan, MoU yang sedia ada ini akan terus berkuatkuasa,” ujar beliau.