5 pantai di Pahang jadi lokasi acara sukan kanu bertaraf dunia

Mohd Sharkar (tengah) mewakili Wan Rosdy pelancaran Acara Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 bertempat di Kuantan 188, di sini pada Rabu.
Mohd Sharkar (tengah) mewakili Wan Rosdy pelancaran Acara Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 bertempat di Kuantan 188, di sini pada Rabu.
A
A
A
KUANTAN - Lima pantai di Pahang bakal menjadi tumpuan dunia apabila acara sukan kenu bertaraf dunia, Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022 akan diadakan 7 hingga 11 September depan.

Antara pantai yang terlibat dalam perlumbaan kanu terbesar yang pertama kali dianjurkan di rantau Asia Tenggara melibatkan Pantai Hiburan di Rompin, Pantai Lagenda (Pekan), Pantai Cherating, Pantai Balok dan Teluk Cempedak di sini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, penganjuran acara bertaraf dunia itu tepat pada masanya dan merancakkan aktiviti pelancongan pada masa ini selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kita mempunyai pantai sejauh 290 kilometer di Pahang dan kita hendak memperkenalkan pantai ini kepada masyarakat setempat dan pelancong dunia.

“Jadi sebab itu kita memilih pantai yang menarik untuk mereka datang ke sini selain melihat perlumbaan kanu sekali gus dapat mempromosi Pahang kepada dunia luar.

“Malahan, kita juga berhasrat untuk menjadikan kawasan pantai yang pilih ini sebagai venue baharu untuk acara perlumbaan kanu yang pernah diadakan di Malaysia dan pertama kali di rantau Asia Tenggara,“ katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas majlis pelancaran Acara Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 bertempat di Kuantan 188, di sini pada Rabu.

Sebelum itu, Mohd Sharkar merasmikan acara itu bagi mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau memaklumkan seramai 500 peserta termasuk dari luar negara bakal memeriahkan Pahang Ocean Paddle itu.

Jelasnya, lima peringkat dipertandingkan pada kejohanan yang pertama kali dianjurkan membabitkan laluan keseluruhan sejauh 64 kilometer.

Mohd Sharkar Shamsudin menambah daripada 500 peserta, 100 peserta dari luar negara.

“Peserta luar negara itu dari Australia, New Zealands, Thailand, Singapura, Jepun dan Portugal mengesahkan penyertaan.

“Kita harap acara bertaraf antarabangsa ini berjalan lancar dan menarik perhatian kerana bakal disiarkan menerusi saluran media sosial setiap hari dan boleh ditonton di seluruh dunia.

“Hadiah keseluruhan berjumlah RM300,000 yang membabitkan enam acara dipertandingkan,” katanya.