Kerajaan belanja RM6.2 bilion rawat pesakit merokok

Kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion bagi merawat pesakit merokok pada tahun 2020 berbanding kutipan cukai produk tembakau RM3 bilion. Gambar kecil: Khairy Jamaluddin
Kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion bagi merawat pesakit merokok pada tahun 2020 berbanding kutipan cukai produk tembakau RM3 bilion. Gambar kecil: Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion bagi merawat pesakit merokok pada tahun 2020 berbanding kutipan cukai produk tembakau RM3 bilion.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kos rawatan itu dijangka meningkat sehingga RM8.8 bilion menjelang tahun 2030.

"Ramai mungkin tidak tahu kos yang ditanggung kerajaan ini adalah lebih tinggi daripada jumlah kutipan cukai produk tembakau," katanya.

Menurutnya, kos rawatan bagi seorang pesakit rokok elektronik (Vape) atau Vaping Associated Lung Injury (EVALI) untuk 12 hari kemasukan hospital adalah RM150,000.

"Ia sangat mahal untuk merawat pesakit ini," katanya menerusi hantaran di laman Tiktoknya pada Rabu.

Beliau berkata, dengan adanya Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok, industri rokok elektronik dapat dikawal selia.

"Kita boleh pastikan cecair vape yang dijual dikawal dengan baik dan lulus ujian makmal. Jadi pengguna tidak akan jatuh sakit," katanya.

Khairy berkata, pengusaha rokok elektronik telah menyatakan sokongan terhadap akta itu.

"Mereka mahu dikawal selia dan kerajaan juga boleh kutip cukai jualan vape yang dianggarkan RM500 juta setahun," katanya.

Ujarnya, dengan melaksanakan peruntukan generasi penamat (GEG), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan sahaja mampu mengurangkan kos rawatan akibat komplikasi rokok, bahkan paling penting dapat menyelamatkan nyawa dua juta rakyat Malaysia.

"Merokok bukan sahaja membunuh tetapi memberi impak besar kepada ekonomi negara," katanya.