KPM digesa percepatkan pembinaan SMK Nabalu

Joniston (kanan) ketika beramah mesra dengan ibu bapa selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Tun Fuad Stephens di Kiulu, Tuaran.
Joniston (kanan) ketika beramah mesra dengan ibu bapa selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Tun Fuad Stephens di Kiulu, Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa supaya mempercepatkan pembinaan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu di Kiulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pembinaan sekolah itu sepatutnya tidak perlu ditangguhkan lagi kerana tapak pembinaan sudah dikenal pasti dan disahkan selamat.

"Berapa lama lagi kita perlu menunggu pembinaan sekolah itu, dengan adanya SMK Nabalu sudah pasti akan membantu mengurangkan masalah kesesakan di sekolah berhampiran dan kesesakan yang berlaku apabila pelajar baharu mendaftar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tun Fuad Stephens di sini pada Selasa.

Pada 28 Januari tahun ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin melawat Kampung Giok berhampiran Pekan Nabalu untuk meninjau tapak baharu pembinaan SMK Nabalu.

Dalam lawatan itu, Mohamad mengumumkan bahawa pembinaan sekolah itu telah dimasukkan untuk pelaksanaan di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sebelum itu, SMK Nabalu pada mulanya dibina di tapak berhampiran pada 2012 tetapi kerja-kerja binaan dihentikan berikutan tapak tersebut tidak selamat.

Bagaimanapun, Jabatan Mineral dan Geosains telah menilai tapak binaan baharu dan menentukan tapak baharu sebagai lokasi yang selamat untuk pembangunan sekolah.

Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dalam pada itu turut menggesa pihak yang berkenaan agar mempercepatkan proses pembinaan asrama yang dibiayai oleh Perbadanan Pinjaman Sabah untuk SMK Tun Fuad Stephens.