Kemenangan Sabah FC hasil kesungguhan pemain

Pemain PJ City FC, K.Gurusamy cuba melepasi kekangan daripada pemain Sabah FC, Gary Steven Robbat (bawah) pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ pada Selasa. - Foto Bernama
Pemain PJ City FC, K.Gurusamy cuba melepasi kekangan daripada pemain Sabah FC, Gary Steven Robbat (bawah) pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kemenangan 2-1 skuad kendaliannya itu ke atas PJ City FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Selasa adalah hasil kesungguhan yang dipamerkan kesebelasan pemain yang diturunkan.

Menurut Kim Swee, biarpun tidak menurunkan empat pemain import termasuk Park Tae Su dan kapten, Baddrol Bakhtiar, pemain yang diturunkan telah membuktikan mereka juga mampu beraksi mantap dan seterusnya menjamin kejayaan pasukan.

“Bukan satu perlawanan yang mudah apabila empat pemain import Sabah FC tak dapat diturunkan, termasuk Badd (Baddrol Bakhtiar) yang masih belum pulih daripada kecederaan.

“Namun, pemain baharu yang diturunkan telah memberikan aksi terbaik dan membuktikan mereka ada kesungguhan di mana sikap dan mentaliti seperti inilah yang perlu ada dalam skuad Sabah FC.

“Selain itu, mereka telah membuktikan walaupun beraksi tanpa ramai pemain tonggak, namun dengan kesungguhan selain mengikut perancangan yang diatur, kejayaan masih mampu dicapai walaupun beraksi di gelanggang lawan,” katanya.

Aksi Liga Super di Stadium MBPJ pada Selasa, menyaksikan Sabah FC ketinggalan 0-1 apabila penyerang PJ City FC, Darren Lok menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-34.

Bagaimanapun, Sabah FC mempamerkan kebangkitan pada babak kedua apabila pemain import, Taiki Kagayama menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-48 sebelum, pemain gantian, Irfan Fazail menjaringkan gol kedua Sabah FC pada minit ke-75.

Sementara itu, Kim Swee berkata, dia mahu melihat dahulu bagaimana situasi terkini kesebelasan pemainnya sebelum mencongak strategi berdepan Melaka United FC (MUFC), Ahad ini.

Katanya, dia mahu memastikan kecergasan dan kondisi pemain berada pada tahap terbaik sebelum dapat melakukan percaturan untuk berdepan MUFC.

“Pertamanya, saya kena tengok situasi kecederaan pemain kerana mereka telah beraksi empat perlawanan dalam tempoh 11 hari.

“Oleh sebab itu, saya mahu tengok keadaan pemain dahulu dan pastikan mereka recover (pulih), fit (cergas) dan bersedia untuk berdepan MUFC,” katanya.