Yusri puji komitmen pemain

Yusri memuji komitmen ditunjukkan skuad kendaliannya sepanjang perlawanan berkenaan. - Foto Facebook Perak Football Club
Yusri memuji komitmen ditunjukkan skuad kendaliannya sepanjang perlawanan berkenaan. - Foto Facebook Perak Football Club
A
A
A

BIARPUN sekadar mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Selangor FC II pada aksi Liga Premier di Stadium UiTM Shah Alam, pada Selasa, namun pengendali Perak FC, Yusri Che Lah memuji komitmen ditunjukkan skuad kendaliannya itu di sepanjang perlawanan berkenaan.

Menurut Yusri, kesemua pemain telah memberikan komitmen 100 peratus dengan menyaksikan deretan percubaan dilakukan jentera serangan skuad The Bos Gaurus itu ke gawang lawan di sepanjang perlawanan.

Bagaimanapun katanya, daripada semua asakan itu, hanya satu gol berjaya dihasilkan bagi memastikan tiga mata pertama di bawa pulang ke Ipoh kali ini.

“Alhamdulilah, syukur kepada ALLAH SWT kerana berikan kemenangan kepada kita, apa pun saya memuji komitmen diberikan pemain sama ada yang beraksi atau tidak pada perlawanan ini. Malah, jaringan (tunggal) yang terhasil pada perlawanan malam ini (Selasa), seperti apa yang kita rancang sebelum ini.

“Kita juga bersyukur apabila kesemua pemain sedar mengenai kepentingan perlawanan malam ini untuk membolehkan kami terus ‘mendaki’ satu perlawanan demi satu perlawanan dalam usaha untuk berada dekat dengan pasukan-pasukan di (kelompok) atas selepas ini,

“Selepas ini kami akan beraksi dua perlawanan 'away' dengan Kelantan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) 11 dan kami harap dapat menghasilkan keputusan positif pada kedua-dua perlawanan berkenaan,” katanya pada Selasa.

Pemain gantian Perak FC, Muhammad Ferris Danial menolak masuk gol tunggal perlawanan pada perlawanan berkenaan. - Foto Facebook Perak Football Club
Pemain gantian Perak FC, Muhammad Ferris Danial menolak masuk gol tunggal perlawanan pada perlawanan berkenaan. - Foto Facebook Perak Football Club

Aksi Liga Premier pada Selasa menyaksikan pemain gantian Perak FC, Mohd Feris Danial memanfaatkan peluang terbuka di depan pintu gol Selangor FC II bagi menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-78.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad Kejor Yob Kejor itu mengumpul empat mata setelah mengharungi 13 perlawanan setakat ini.

Untuk rekod, Perak FC masih mempunyai baki lima perlawanan dimulai dengan aksi berdepan Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada 10 Ogos, diikuti JDT II di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (10 Ogos), Skuad Projek FAM-MSN, di Stadium Perak, Ipoh (21 Ogos), UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam (3 September) dan Kuching City FC di Stadium Perak, Ipoh (11 September).

Sementara itu Yusri turut berterima kasih kepada penyokong Perak FC yang hadir beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan kepada skuad The Bos Gaurus itu.

“Saya kena ucapkan terima kasih, di mana pun penyokong Perak FC tetap akan hadir dan kita kena ingat, petang tadi ada yang bekerja dan malam ini mereka sanggup datang ke padang berikan sokongan kepada pasukan.

“Tidak ada satu pun perkataan yang melemahkan semangat pemain, tetapi mereka (penyokong) dilihat terus memberikan kata-kata semangat kepada pemain sehinggalah tamat perlawanan,” katanya.