Miliki dadah, buruh dijel 6 tahun dan 10 rotan

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan terhadap seorang buruh kerana memiliki dadah jenis heroin dan methamphetamine, tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Wan Azimah Yaacob selepas tertuduh, Wan Mohd Nazrul Wan Mat, 32, dari Kelantan mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh yang berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A (2) akta sama didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 7.53 gram di tepi jalan Kampung Pagar Ubi, Tepoh, Kuala Nerus, jam 12.30 malam pada 8 November 2018.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 1.963 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama manakala dua tahun penjara untuk pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 8 November 2018.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad.

Mengikut fakta kes, polis melakukan tugas ronda jenayah di kawasan Balai Polis Batu Rakit menggunakan kenderaan pasukan sebelum ternampak sebuah kereta Proton Wira yang berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Wakaf Mesira, Tepoh, Kuala Nerus.

Artikel Berkaitan:

Polis bertindak menghampiri kereta berkenaan sebelum tertuduh memecut laju cuba melarikan diri namun kenderaannya berjaya dipintas di Kampung Pagar Ubi, Tepoh, Kuala Nerus.

Dalam cubaan melarikan diri, tertuduh turut merempuh kereta polis sebelum dia akhirnya berjaya ditahan.

Hasil pemeriksaan menjumpai satu beg sandang mengandungi beg dompet, beg kecil dan satu bungkusan surat khabar mengandungi dua jenis dadah iaitu methamphetamine dan heroin sebelum dia dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.