Bomba redah hutan 5km selamatkan lelaki tersangkut atas pokok

Mangsa berjaya diturunkan dengan selamat selepas tersangkut pada pokok setinggi 30 meter di Bukit Kokol, Manggatal, Kota Kinabalu pada Selasa.
Mangsa berjaya diturunkan dengan selamat selepas tersangkut pada pokok setinggi 30 meter di Bukit Kokol, Manggatal, Kota Kinabalu pada Selasa.
A
A
A
KOTA KINABALU - Kira-kira 30 anggota bomba terpaksa meredah hutan sejauh lima kilometer untuk menyelamatkan seorang lelaki yang tersangkut di atas pokok ketika melakukan aktiviti luncur udara atau paragliding di Bukit Kokol, Manggatal, di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 35 tahun hanya cedera ringan walaupun tersangkut pada pokok setinggi 30 meter di kawasan berkenaan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.12 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota dari BBP Lintas dengan bantuan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta kelab dron dikerah ke lokasi kejadian.

"Kejadian melibatkan seorang lelaki yang melakukan aktiviti luncur udara namun payung terjun yang dikendalikan mangsa hilang kawalan.

"Akibat kejadian itu, mangsa tersangkut di atas pokok setinggi 30 meter sebelum bertindak mendapatkan bantuan dan pasukan bomba bergegas ke lokasi dengan berjalan kaki sejauh lima kilometer dari jalan utama melalui jalan hutan," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, usaha menyelamatkan mangsa segera dilakukan dengan bantuan alat dron bagi menaikkan tali tangsi ke atas pokok berkenaan.

"Mangsa kemudian menurunkan tali tangsi ke bawah dan seterusnya menarik tali penyelamat untuk membawanya turun dari atas pokok berkenaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa berjaya dibawa turun pada jam 10.13 malam sebelum diberi rawatan lanjut serta dihantar ke rumah penginapannya.

Operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah malam selepas pasukan bomba memastian tiada bahaya yang wujud di lokasi kejadian.