RUU berkaitan larangan lompat parti dibentang hari ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti bakal menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-undang itu dijangka dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sesi libat urus bagi pembentangan rang undang-undang itu bersama ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang telah diadakan pada Isnin dan Selasa sebelum pembentangan serta perbahasan pada hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan dibentangkan bagi bacaan kali pertama.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, rang undang-undang itu bakal menjadi pemangkin kepada pengakhiran gejala merokok dalam kalangan generasi belia.

Turut menarik perhatian, isu impak perdagangan negara sejak Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuat kuasa di Malaysia pada Mac lepas.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang) yang bertanyakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada sesi soal jawab.

Selain itu, isu kenaikan gaji anggota penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri dibangkitkan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada Perdana Menteri pada sesi sama.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos. - Bernama