Sokong dasar hapuskan generasi perokok

No Image Caption
A
A
A

AKHBAR ini memberikan sokongan penuh kepada pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Akta Kawalan Tembakau di Parlimen.

Ia bertujuan untuk menghapuskan generasi perokok secara berperingkat dan satu usaha untuk menyelamat nyawa rakyat akibat daripada tabiat buruk tersebut.

Ketika ini dianggarkan 4.7 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas merupakan perokok tegar namun trend semasa menunjukkan penurunan 20 peratus setiap tahun sejak 2019 lalu.

Terkini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan, Malaysia merekodkan 400 kematian setiap minggu akibat rokok.

Menurutnya, pengambilan tembakau adalah faktor utama pencetus kanser iaitu penyakit utama yang menyebabkan kematian di hospital.

Justeru itu, kita mahu mengingatkan kepada segelintir ahli-ahli Parlimen yang berhasrat untuk menolak RUU tersebut. Mereka perlu ambil iktibar daripada data yang didedahkan itu.

Isu rokok di negara ini memang cukup popular terutama dalam kalangan perokok dan mereka yang akan memberikan pelbagai hujah bagi memperjuangkan tabiat buruk mereka.

Kita tidak mahu isu ini dijadikan sebagai satu peluang kepada ahli-ahli Parlimen yang menyokong tabiat merokok dan meraih populariti dalam kalangan perokok.

Masalah melibatkan kesihatan rakyat ini tidak boleh ada kompromi dan kerajaan memang perlu tegas dalam keputusan yang dibuat.

Sementara itu, golongan perokok yang ada pada masa ini tidak perlu bimbang kerana mereka masih boleh meneruskan tabiat buruk itu sehingga akhir hayat mereka kerana RUU ini tiada kaitan dengan mereka.

Namun, ada segelintir perokok berhujah bahawa kerajaan berhasrat untuk menaikkan cukai dan meraih laba besar untuk kantung negara, namun kutipan cukai hanyalah berjumlah RM3 bilion dan ketirisan melalui penyeludupan dan pasaran tidak sah melebihi 60 peratus.

Kos yang disediakan oleh kerajaan untuk rawatan melibatkan pelbagai jenis penyakit kanser pula ialah sebanyak RM6 bilion setahun.

Jadi, dakwaan kerajaan mahu meraih keuntungan daripada kutipan cukai rokok adalah tidak berasas sama sekali.

Justeru itu, kita berharap agar ahli-ahli Parlimen menyokong dasar yang memberikan impak positif kepada rakyat pada masa akan datang.