MIDA lulus geran automasi pintar bernilai RM138.5 juta

Penerima geran termasuklah PKS daripada industri berintensifkan buruh seperti plastik, kayu, perabot dan tekstil, manakala selebihnya daripada industri berkaitan perkhidmatan.
Penerima geran termasuklah PKS daripada industri berintensifkan buruh seperti plastik, kayu, perabot dan tekstil, manakala selebihnya daripada industri berkaitan perkhidmatan.
A
A
A

LEMBAGA Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan Geran Automasi Pintar (SAG) berjumlah RM138.5 juta kepada 238 syarikat sehingga 30 Jun, 2022, berikutan pelancaran SAG pada Disember 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, penerima geran itu termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada industri berintensifkan buruh seperti plastik, kayu, perabot dan tekstil manakala selebihnya daripada industri berkaitan perkhidmatan.

"Syarikat baharu harus memanfaatkan peluang yang semakin meningkat di negara ini dan mengukuhkan kedudukan mereka di Malaysia.

"Sebagai agensi penggalakan pelaburan utama Malaysia, MIDA akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif bagi perniagaan berkembang," katanya dalam ucapan alu-aluannya di Seminar Pelaburan Domestik MIDA Siri I (Wilayah Tengah) pada Selasa.

Arham berkata, tahun ini MIDA meneruskan inisiatifnya melalui seminar maya pelaburan domestik, penglibatan dengan persatuan-persatuan kebangsaan dan dewan perniagaan, program rantaian industri/rantaian bekalan dan komitmen platform penyelarasan domestik.

Beliau menambah bahawa MIDA akan menyelaraskan sesi pemadanan perniagaan antara syarikat utama dan bakal pembekal atau penyedia tempatan dalam industri tertentu, daripada mengaturkan rangkaian untuk syarikat dan bakal pembiaya dan penyedia teknologi.

"MIDA juga telah melancarkan Meja Pelaburan PKS khusus di semua pejabat negerinya untuk memudahkan dan menyelaras perkhidmatan sokongan bagi perniagaan Malaysia.

"Portal digital kami sentiasa dikemas kini untuk membantu pembuat keputusan dan bakal pelabur mendapatkan bimbingan dan nasihat mengenai persediaan perniagaan dan rancangan pengembangan di Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Low Kian Chuan berkata, DDI merupakan pemacu penting pelaburan swasta untuk melengkapkan pelaburan langsung asing.

Beliau berkata, dengan PKS membentuk 98.5 peratus daripada jumlah pertubuhan di Malaysia, ini telah mengesahkan semula peranan mereka sebagai tulang belakang ekonomi dan pembangunan perindustrian Malaysia.

"Menghidupkan semula pelaburan domestik adalah penting dalam meningkatkan kapasiti produktif ekonomi, mempercepatkan kemajuan teknologi, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengembangkan eksport dengan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.

Kian Chuan berkata, kerajaan mempunyai peranan penting dalam mengukuhkan persekitaran yang kondusif untuk memudahkan pelaburan perniagaan dan menjalankan perniagaan di Malaysia.

Menurutnya, perniagaan dan industri Malaysia kekal dalam negara memandangkan sudah biasa dengan perniagaan tempatan dan pada masa yang sama mempelbagaikan pelaburan mereka di luar Malaysia.

"Walaupun rejim cukai yang menggalakkan dan insentif pelaburan membantu meningkatkan DDI, kesannya lebih kuat jika ditambah dengan iklim dan kemudahan pelaburan yang lebih baik serta persekitaran kawal selia yang boleh dijangka, disokong oleh keadaan ekonomi dan politik yang stabil,” tambahnya.-Bernama