Asnaf tidak sepatutnya terus dimanjakan

Zainal Abidin (kiri) dan Mahmood Zuhdi.
Zainal Abidin (kiri) dan Mahmood Zuhdi.
A
A
A

NILAI - Golongan asnaf tidak sepatutnya terus dimanjakan dengan bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya sikap dan pemikiran mereka perlu diubah.

Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, golongan asnaf perlu dibantu memajukan diri, misalnya dengan menceburi bidang tertentu yang dapat membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

"Sekarang ini kita nak 'ternak' atau kita nak basmi? Kalau kita ternak, lama kelamaan mereka akan jadi semakin manja.

"Ia sehinggakan bila YBK mahu mencari orang bekerja mengutip cili pun semuanya tidak mahu kerana mereka kata telah dapat bantuan setiap bulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama bertajuk 'Zakat dan Kemiskinan' pada Program Muzakarah Kebangsaan 2022 Kali Ke-9 di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Sementara itu Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, institusi zakat perlu diberi kuasa autonomi untuk mentadbir tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak berkepentingan.

"Pihak pentadbir zakat di seluruh negara sewajarnya diberi ruang untuk berfungsi dalam bidang tersendiri dengan mengutamakan kepentingan dan keperluan segera para asnaf.

"Janganlah pusat zakat itu diletakkan dalam pentadbiran yang ada lebih kuasa daripada pusat zakat itu sendiri dan paling penting wang zakat itu perlu dilindungi dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain," katanya.

Dakwanya, ada negeri yang soal pembahagian wang zakatnya terbengkalai kerana tidak diberi perhatian secukupnya.