Pindaan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad dibentang Julai atau Ogos

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, pindaan yang akan menyediakan rangka kerja perundangan lebih komprehensif berkaitan pemulihan entiti perniagaan turut merangkumi pengenalan peruntukan mengenai Mekanisme Penyelamat Korporat.

"Ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara kerana terdapat keperluan untuk satu rangka kerja perundangan yang lebih komprehensif berkaitan pemulihan entiti perniagaan bagi memastikan perniagaan terus berdaya saing.

"Pindaan juga termasuk pengenalan peruntukan mengenai Mekanisme Penyelamat Korporat kerana akta ini terdedah kepada risiko gulung tikar apabila mereka berhadapan dengan masalah kewangan walaupun perniagaan itu sebenarnya masih berdaya maju,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSMNC) 2022 yang diadakan secara maya pada Selasa.

Nanta berkata, persidangan itu yang bertemakan ‘Corporate Governance and Sustainability, Needed Now More Than Ever’, bertujuan menyediakan platform untuk memulakan tindakan oleh pemain korporat bagi mengukuhkan tadbir urus korporat dan amalan kemampanan untuk mencapai nilai jangka panjang dan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

Tema ini sesuai dengan keutamaan sektor korporat pada masa ini, iaitu menetapkan dan membina semula dengan daya tahan dan kesiapsiagaan bagi menghadapi masa pascapandemik.

"Ini bermakna memanfaatkan ke arah membina laluan untuk kemampanan jangka panjang dan pertumbuhan inklusif. Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, tiada yang lebih penting daripada keperluan untuk tadbir urus korporat dan kemampanan, sebab itu tema berkenaan dipilih SSM,” katanya.

Persidangan tahunan yang memasuki tahun ke-11 penganjuran itu mencatatkan penyertaan lebih 2,400 perwakilan.

Persidangan maya selama dua hari itu melibatkan barisan panel dengan pelbagai pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing membincangkan topik daripada amalan kemampanan kepada menggabungkan tadbir urus korporat yang baik. - Bernama